suria

Anifah keluar Umno kerana gagal penuhi janji untuk rakyat Sabah

Anifah Aman.

PETALING JAYA: Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata keputusan untuk keluar Umno dibuat kerana gagal memenuhi janjinya terhadap rakyat Sabah bagi mendapatkan hak yang sewajarnya.

Pada Rabu, Anifah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kimanis dan ahli parti, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan keluar parti dan peletakan jawatan itu dibuat berdasarkan janjinya sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Anifah menjelaskan bahawa beliau akur tanpa Umno dan BN di tampuk kekuasaan, perjuangan beliau dalam mendapatkan hak rakyat di negeri itu tidak akan berhasil.

"Perjuangan saya di dalam politik selama ini adalah sangat jelas. Saya  bertegas mahukan rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih dan alasan, jauh sekali dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekali pun sama ada di dalam mahupun di luar parti. 

"Ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 ialah titik mula penubuhan sebuah negara persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini. Walaupun tidak lagi di dalam Umno, saya tetap akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anifah berkata, beliau tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kimanis dalam mengetengahkan kepentingan dan harapan pengundi di kawasannya.

Dalam pada itu, beliau meminta supaya kerajaan Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan janji-janji mereka terutama mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Anifah juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keseluruhan kepimpinan parti dan BN pusat serta negeri di atas kepercayaan serta sokongan terhadapnya.

"Saya turut ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong-penyokong saya terutama sekali ahli-ahli Umno Bahagian Kimanis dan kepimpinan Umno  Bahagian Kimanis atas segala keyakinan dan sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini," katanya.

Pengunduran Anifah kurang 24 jam selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu pada Selasa.

Anifah Aman, Umno, letak jawatan

Artikel Lain