suria

SPRM serbu pejabat Felcra di Setapak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menyerbu sebuah pejabat anak syarikat FELCRA Berhad di Setapak, di sini, Selasa dan menyiasat seorang suspek lelaki berusia 53 tahun berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan.

Dalam serbuan itu, SPRM turut merampas pelbagai dokumen berkaitan kewangan dan pengagihan kontrak latihan yang dianggarkan bernilai RM4 juta.

Serbuan berkenaan dibuat 10 pegawai SPRM pada 9.30 pagi yang dijalankan secara serentak dengan serbuan di sebuah pejabat anak syarikat itu di Kelantan serta 10 buah pejabat syarikat yang menerima kontrak itu di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

Sumber SPRM berkata, serbuan berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa seorang pengurus kanan di anak syarikat FELCRA Berhad terlibat dengan melantik sekurang-kurangnya 10 syarikat luar yang disyaki ada kepentingan kepada dirinya.

"Suspek berusia 53 tahun itu didakwa melantik syarikat-syarikat luar yang dimiliki oleh anggota keluarga termasuk anak menantu serta kenalannya bagi membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan oleh anak syarikat FELCRA itu,” kata sumber itu.

Sumber SPRM berkata ia masih menyiasat sama ada individu itu mempunyai kepentingan secara langsung dalam syarikat-syarikat berkenaan atau dia menerima faedah dalam bentuk ganjaran.

Difahamkan, salah guna kuasa itu telah mula dikesan sejak tahun 2014 dan berlarutan sehingga kini membabitkan nilai projek mencecah kira-kira RM4 juta.

"SPRM juga percaya masih ada beberapa lagi syarikat luar yang terbabit. Pengurus kanan itu juga disyaki menerima habuan pada setiap kontrak yang diperoleh," kata sumber itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya membuat kesemua serbuan berkenaan. - BERNAMA

SPRM, Felcra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain