suria

Mahkamah Singapura benar pulangkan RM45.9 juta dana 1MDB, SRC

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan wang yang diambil secara salah daripada akaun berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd dikembalikan kepada Malaysia.

Perkara itu dinyatakan salah satu firma guaman yang mewakili Malaysia, Tetuan Tan Rajah & Cheah, dalam satu kenyataan.

Mahkamah meluluskan permohonan peguam kerajaan Malaysia supaya wang berjumlah RM45.9 juta (S$15.3 juta) itu dipulangkan.

"Wang itu akan dipindahkan ke akaun bank pemulihan khas 1MDB di Kuala Lumpur.

"Usaha lain untuk mendapatkan kembali wang milik 1MDB masih dijalankan," kata firma guaman yang berpangkalan di Singapura itu.

Pada Julai lalu, Peguam Negara Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma guaman itu untuk memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Singapura terhadap 53 defendan bagi mendapatkan perintah untuk mendapatkan semula wang milik 1MDB.

Ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, dilaporkan salah seorang daripada 53 defendan itu.

Dilaporkan pihak berkuasa Malaysia dan Singapura setuju untuk bekerjasama dalam usaha membawa pulang wang yang dipercayai diselewengkan daripada 1MDB di negara itu.


1MDB, Singapura

Artikel Lain