suria

Selepas isteri, dua anak tiri CEO Cradle Fund turut ditahan bantu siasatan kes bunuh

PETALING JAYA: Polis menahan dua anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan bagi membantu siasatan berhubung kematiannya pada 14 Jun lalu, lapor dua portal berita.

Ini kerana Nazrin ditemui dengan kecederaan yang dipercayai berpunca daripada anak panah, dan kedua-dua anak tirinya menyertai kelab memanah di sekolah menengah mereka, lapor Malay Mail dan The Malaysian Insight memetik sumber.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua termasuk isteri ditahan bantu siasatan kes bunuh CEO Cradle Fund

Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 9.30 malam Rabu.

"Remaja terbabit dibawa sebagai sebahagian daripada siasatan kerana mereka difahamkan kedua-duanya bermain sukan memanah dan terdapat petunjuk lain apabila disoal siasat berkaitan dengan ibu bapa mereka yang membawa kepada penahanan mereka," kata sumber kepada Malay Mail.

Terdahulu, isteri Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar dan bekas suami wanita itu, kedua-duanya 43 tahun, direman selama tujuh hari bermula Rabu.

Malay Mail melaporkan Samirah, merupakan anak kepada ahli sains politik Chandra Muzaffar, manakala dua anak tiri Nazrin berada di rumah Chandra ketika ditahan.

Nazrin ditemui mati selepas terperangkap di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara pada 14 Jun lalu dengan kesan lecur 30 peratus di badannya.

Pada 3 Ogos lalu, polis mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Menurut laporan, keputusan makmal mendapati terdapat beberapa kesan petrol ditemui di lokasi kejadian.

Samirah yang juga Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kemudian mengkritik pihak berkuasa.

Suspek pernah menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya yang kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Siasatan terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Media melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Nazrin Hassan, Cradle Fund

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain