suria

Datuk Bandar KL: Khalid serah tiga nama calon

KUALA LUMPUR: Tiga nama telah dikemukakan untuk pertimbangan bagi mengisi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata ketiga-tiga nama itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk mendapatkan keputusan akhir.

“Saya harap dapat mengesahkannya (nama itu) sebelum pertengahan bulan ini.

“Buat masa ini, datuk bandar sekarang (Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz) akan terus bertugas sehingga akhir September,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini Selasa.

Pada Isnin, Khalid mengesahkan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada Mhd Amin pada 1 September.

Menurut Khalid, beliau belum membalas surat itu, yang disertakan dengan notis 30 hari, kerana beliau berpendapat perkara itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan sama ada seorang pengganti yang sesuai telah dikenal pasti.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk melakukan pendakwaan, Khalid berkata cadangan itu membabitkan pindaan kepada akta yang berkaitan.

“Memang kita (kerajaan) setuju SPRM seharusnya diberi hak untuk mendakwa sekiranya Peguam Negara (AG) memutuskan untuk tidak mengenakan pendakwaan.

“(Pada masa ini) sistem yang dilaksanakan adalah SPRM menyiasat, kemudian mereka kemukakan kepada AG, jadi jika AG rasa kes itu tidak kukuh tapi SPRM rasa ia kukuh, maka SPRM perlu diberi hak untuk membawa kes ke mahkamah,” katanya.

Nurul Izzah membuat cadangan itu menerusi mesej Twitter beliau semalam susulan kontroversi pembebasan Menteri Kewangan Lim Guan Eng. - BERNAMA

Datuk Bandar, Khalid Samad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain