Wabak beguk: Pelajar SMA Izzuddin Shah diarah pulang - Semasa | mStar

Wabak beguk: Pelajar SMA Izzuddin Shah diarah pulang

IPOH: Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Izzuddin Shah, di sini, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak Khamis,  berikutan  penularan  wabak  beguk di sekolah itu.

Pengetua sekolah berkenaan, Omar Bakar  berkata  kesemua  pelajar telah  pulang  sejak  pukul 3.30 petang  semalam dan dijangka kembali semula ke asrama sekolah pada 26 September depan.

“Mengikut jadual asal, pelajar-pelajar sepatutnya pulang pada 7 September nanti tetapi ekoran wabak itu mereka dibenarkan pulang awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau dikeluarkan oleh Bahagian Biro Publisiti, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah  berkenaan Ahmad Kamil Zailani bagi pihak pengetua sekolah.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Derah Kinta telah mengeluarkan surat agar SMA Izzuddin Shah  ditutup di bawah perenggan 18(1) d) Akta  Pencegahan  Kawalan Penyakit   Berjangkit  1988 bagi  tujuan pengasingan pelajar serta kerja pembersihan asrama, kelas dan lain-lain bangunan  di  sekolah tersebut.

Surat itu menyebut arahan penutupan bermula hari ini sehingga 25 September  depan   bagi mencegah penularan  penyakit berjangkit.

Pejabat Kesihatan Daerah Kinta juga akan membuat pemeriksaan susulan sebelum membenarkan sekolah dibuka semula, menurut surat tersebut.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata  keadaan 21 pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah agama di Ipoh, Perak yang dijangkiti wabak  beguk pada Rabu lepas, disahkan stabil.

Beliau berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian wabak itu, melalui Jabatan Kesihatan  Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.- Bernama   

Izzuddin Shah , beguk

Artikel Sebelum

SST: Harga rokok meningkat 10 peratus

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Issey meninggal dunia