suria

Vlogger Nas Daily suarakan Malaysia 'tanah larangan'

PETALING JAYA: Malaysia dianggap sebagai 'tanah larangan' oleh seorang vlogger (individu yang menghasilkan bahan dalam bentuk video) di Facebook, Nas Daily.

Menerusi videonya yang bertajuk "Tanah Larangan!" yang dimuat naik di halaman Facebooknya, Nas atau nama sebenarnya Nuseir Yassin berkata, dia tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana merupakan pemegang pasport Israel.

"Negara yang anda lihat di belakang saya, sukar untuk saya masuk seperti Korea Utara. Kerana ia adalah Malaysia," katanya, sambil menunjukkan bangunan-bangunan yang dipercayai di Tanjung Puteri, di selat Johor.

"Dengan pasport Israel, hampir mustahil untuk saya memasuki negara mereka dan lebih mustahil untuk mereka memasuki negara saya kerana politik," katanya sambil menambah bahawa "Malaysia dan Israel bukan kawan".

Bercakap menerusi klip video berdurasi seminit dari Singapura, warga Palestin-Israel-Palestin itu yang mengembara sepenuh masa dan membuat video sejak 2016 berkata, dia mempunyai ramai kawan dengan beberapa rakyat Malaysia di Singapura, dan mendalami mengenai makanan, budaya dan bahasa negara itu.

Nas berkata, persahabatannya dengan rakyat Malaysia "hanya boleh wujud di luar Israel dan Malaysia".

Sebelum mengakhiri dengan slogannya "Hanya seminit, jumpa esok", Nas menyuarakan harapan mengenai keamanan dalam kalangan kerajaan.

"Saya yakin apabila kerajaan membuat perdamaian, kita akan bertemu di dalam Malaysia, di dalam Israel, dan di dalam Palestin. InsyaAllah," katanya.

Malaysia tidak mengiktiraf Israel secara rasmi, dan pasport Malaysia menyatakan pasport itu sah di semua negara kecuali Israel.

Pemegang pasport Israel dilarang masuk ke negara ini tanpa kebenaran bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan rakyat Malaysia beragama Kristian untuk berkunjung ke Israel sehingga selama 21 hari bagi tujuan keagamaan.

Nas Daily

Artikel Berikut

Artikel Lain