suria

Khairuddin tarik balik saman terhadap Najib, Rosmah, Jho Low, 1MDB, Zahid

Khairuddin Abu Hassan.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Khamis menarik balik samannya terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, Datin Seri Rosmah Mansor dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi mendapat perintah supaya Rosmah memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

Khairuddin juga menarik balik samannya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan melanggar angkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong berkenaan isu RM2.6 bilion.

Peguam Yazid Mustaqim Roslan yang mewakili Rosmah dan Najib berkata, kesemua pihak bersetuju dengan cadangan plaintif (Khairuddin) untuk menarik balik kedua-dua saman itu tanpa kos.

“Mahkamah kemudiannya membatalkan saman itu,” katanya kepada pemberita selepas kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dihadiri peguam Damien Chan yang mewakili Khairuddin.

Pada 16 Ogos 2017, Khairuddin memfailkan saman terhadap Jho Low, Rosmah dan 1MDB dan mendakwa antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low menerusi ejennya telah membeli set barang kemas itu daripada peniaga barang kemas, New York Lorraine dengan nilai AS$27.3 juta menggunakan wang yang diambil daripada 1MDB.

Khairuddin juga mendakwa barang kemas berkenaan, dalam bentuk berlian berwarna merah jambu  bernilai AS$23 juta dan rantai leher bernilai AS$4.3 juta, diterima Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Beliau memohon perintah mahkamah agar Rosmah mengembalikan barang kemas berkenaan kepada 1MDB dan Jho Low membayar jumlah wang yang didakwa  diambil daripada 1MDB, di samping ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Pada September 2017, Khairuddin menyaman bekas perdana menteri dan timbalannya kerana didakwa melanggar sumpah mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengelirukan orang ramai berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Zahid telah melanggar sumpah mereka di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak layak memegang jawatan masing-masing atau mana-mana kedudukan dalam kabinet.

Khairuddin mendakwa beliau mempunyai locus standi untuk memulakan saman tersebut demi kepentingan awam. - Bernama

Khairuddin Abu Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain