suria

Warga emas, menantu maut ditikam lelaki pengaruh dadah

GEORGE TOWN: Polis tidak menolak kemungkinan perselisihan faham dan dendam menjadi punca  seorang warga emas dan menantunya maut ditikam berkali-kali oleh seorang  lelaki  yang di pengaruhi dadah Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V. Saravanan berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat lebih 70 kesan tikaman di seluruh badan Sarbudeen Shikander,70, warga tempatan manakala menantunya Jamal, warga India yang berusia 30'an ditikam 32 kali.

Kedua-dua mereka bekerja sebagai penjaga parkir di sini.Saravanan berkata kedua-dua mayat itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada 6.20 petang Sabtu di bilik sewa mereka di tingkat satu sebuah rumah kedai dua tingkat di jalan Argyll di sini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata seorang buruh binaan  berusia 28 tahun dari Myanmar ditahan dan suspek dipercayai menggunakan benda tajam seperti  gunting dan besi tajam yang diambil dari tapak  pembinaan  untuk  menikam kedua-dua mangsa.

Katanya lelaki itu dipercayai mempunyai masalah psikiatri dan mengambil ubat penenang, namun semasa kejadian dia dikatakan tidak makan ubat tetapi  dipercayai  mengambil  dadah  sehingga  bertindak ganas dan kejam.

"Sehingga hari ini suspek mendakwa tidak boleh mengingati apa yang berlaku dan dia kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata  polis turut menahan reman 14 hari rakan sebilik kedua-dua mangsa berkenaan seorang warga Myanmar berusia 52 tahun bagi membantu siasatan. -Bernama

Tikam, maut

Artikel Lain