suria

Tun M: Malaysia mahu jadi negara pengeluar, bukan pengguna

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus memberikan reaksi 'tajam' terhadap kritikan mengenai projek kereta nasional ketiga yang dicadangkan oleh beliau.

The Star yang memetik temubual eksklusif oleh Malaysiakini, Dr Mahathir berkata: "Jika anda mahu menjadi negara petani, menanam padi dan menangkap ikan, baiklah, kami akan melakukannya untuk anda.

"Tiada industri kerana kadang-kadang industri kehilangan wang, ada nampak? Mari kita menjadi petani atau nelayan. Itulah yang boleh kita lakukan.

"Jika anda suka, jika itu yang anda undi, baiklah, kami akan melakukannya," lapor portal berita itu yang memetiknya sebagai berkata.

Pada 11 Jun, Dr Mahathir mendedahkan pada Persidangan Nikkei ke-24 mengenai Masa Depan Asia tentang rancangan kerajaan untuk memperkenalkan sebuah kereta nasional baharu.

Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia tidak memberi tindak balas positif terhadap cadangan itu.

Apabila laporan itu disiarkan di laman rasmi Facebook The Star Online, terdapat lebih 1,000 komen yang kebanyakannya menentang idea tersebut.

Ramai yang meminta sistem pengangkutan awam diperbaiki, sementara ada yang menegaskan bahawa kita perlu belajar daripada situasi Proton.

Kenyataan berbaur sindiran oleh Dr Mahathir menerusi temu bual Malaysiakini mengingatkan pada posting di blog beliau bertarikh 16 Julai, di mana beliau juga berkata: "Rakyat Malaysia lebih suka membeli kereta import, termasuk dari China.

"Pilihan mereka ialah kereta Jepun dan mereka yang mempunyai banyak wang (memilih) kereta Jerman," tulis beliau pada catatan tersebut.

Dalam temu ramah bersama Malaysiakini itu, Dr Mahathir membuat satu lagi usaha untuk menjelaskan tentang usulnya dengan berkata, matlamat beliau adalah sentiasa meningkatkan kapasiti kejuruteraan negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar dan bukan pengguna.

"Malaysia adalah negara pengguna, mereka tidak tahu bagaimana menghasilkan apa-apa," katanya.

"Industri kereta memerlukan 4,000 bahagian untuk membuat kereta.

"Jika saya memberikan anda 4,000 bahagian dan meminta anda membuat kereta, anda tidak boleh melakukannya.

"Anda mesti belajar bagaimana untuk menghasilkan bahagian-bahagian itu, bagaimana untuk menyesuaikannya kerana apabila anda belajar cara tersebut, anda belajar tentang kejuruteraan.

"Apabila anda tahu bagaimana menghasilkan komponen, anda boleh menghasilkan komponen untuk mesin lain, komponen untuk kereta lain di negara lain.

"Anda mempelajari keseluruhan praktikal kejuruteraan daripada membina sebuah kereta," katanya.

Portal berita tersebut melaporkan bahawa Dr Mahathir mengakui bahawa terdapat alternatif, seperti membina kereta api, tetapi percaya bahawa kereta adalah pilihan yang lebih baik.

"Di seluruh dunia, orang membeli kereta lebih daripada mereka membeli rumah.

"Apabila anda melakukan itu, anda boleh mencapai jumlah yang banyak. Maka, industri akan terus bergerak," katanya kepada Malaysiakini.

Mahathir Mohamad

Artikel Lain