suria

'Dele Challenge' lebih mantap dari versi asal: "Kawan kata mungkin jari saya cacat"

Foto Dele Challenge Fathi (kiri) dikatakan jauh lebih hebat berbanding versi asal yang dilakukan oleh pemain bola sepak, Dale Alli (kiri). FOTO: Twitter @fathi_anwar dan Instagram Dele.

PETALING JAYA: Setelah laman sosial dibanjiri video-video tarian Kiki Challenge, kini timbul pula satu lagi trend baharu yang dinamakan Dele Challenge.

Cabaran itu mula tular dan menjadi ikutan ramai setelah ia dilakukan oleh pemain bola sepak pasukan Tottenham Hotspurs, Dele Alli sewaktu meraikan jaringan gol dalam satu perlawanan baru-baru ini.

Ia kini bukan sahaja menjadi kegilaan pelayar media sosial di negara luar, malah turut melanda warga maya di negara ini.

Namun, setakat ini foto Dele Challenge seorang remaja lelaki yang agak luar biasa dilihat paling mencuri tumpuan sehingga ada sesetengah netizen yang mempertikaikan kebolehannya itu.

Anak muda berkenaan, Fathi Anwar, 23, ketika dihubungi mStar Online mengakui tidak menyangka foto yang dirakam secara suka-suka itu kini menjadi tular dan menarik perhatian ramai.

“Ada kawan hantar gambar Dele Challenge yang asal, saya pun cuba tiru. Tak sangka ia terus menjadi dengan sekali percubaan sahaja," katanya.

Selepas itu Fathi bertindak memuat naik dua gambar 'seni jari' versinya sendiri yang lebih mencabar dengan menulis 'RIP Dele Alli Challenge' di Twitter pada Selasa.

"Selepas mereka tengok gambar tu, kawan saya bergurau cakap mungkin jari saya cacat, sebab tu boleh buat.

"Saya pun tak tahu saya boleh buat macam tu, ia mungkin senang jika memiliki jari yang lembut dan lentik," ujar Fathi.

Foto berkenaan pada mulanya sekadar dikongsi menerusi group WhatsApp sebelum dimuat naik ke laman Twitter sehingga menerima lebih 6,000 ulang kicau (Retweet) sejak Selasa lalu.

Dua foto Dele Challenge Fathi yang dimuat naik menerusi laman Twitter miliknya yang mendapat perhatian ramai.

Pemuda yang berasal dari Bangi, Selangor itu juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap cabaran tersebut sebagai satu perbuatan yang sia-sia dan ada yang bertindak melampau sehingga mengaitkannya dengan simbol dajal.

Menurut Fathi, dia menganggap Dele Challenge sebagai satu hiburan ringan yang dilakukan pada waktu lapang untuk tujuan suka-suka sahaja.

"Jadikan perkara macam ni sebagai aktiviti sampingan harian sahaja. Boleh buat pada masa rehat bekerja untuk boost up balik kerja-kerja seterusnya.

"Tak salah pun main benda macam ni asal jangan sampai lupa tujuan hidup kita sebagai hamba Allah.

“Simbol jari tu tak ada maksud terselindung pun, ia terpulang atas persepsi masing-masing, ia untuk suka-suka sahaja. Tak perlu ambil serius,” ujar Fathi yang merupakan seorang pelajar di sebuah negara di Timur Tengah.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati beberapa selebriti seperti pelakon Nazim Othman dan penyampai radio, Haniff Hamzah turut melakukan cabaran tersebut.

Malah, carian menggunakan tanda pagar #DeleChallenge turut membawa kepada ribuan foto individu dari seluruh dunia yang turut melakukan cabaran berkenaan.

Agaknya apa pula cabaran yang bakal menjadi ikutan ramai selepas ini? Sama-sama kita nantikan.

Artikel Lain