suria

Jenazah tiga beradik nahas Jalan Lipis-Merapoh selamat dikebumikan

Jenazah tiga beradik bersama seorang kenalan Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21 disiapkan untuk dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan. - Bernama

BACHOK: Jenazah tiga beradik, yang maut selepas kenderaan dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 19, Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang dekat Padang Tengku, Pahang pada pagi Isnin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keluat, Beris Kubur Besar di sini, awal pagi Selasa.

Jenazah Mimi Suziana Mohamed, 39, Norfasmida, 24, dan Ahmad Faris, 16, dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira 3.40 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut nahas kereta bertembung treler

Turut maut ialah rakan Norfasmida, Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21, dari Kampung Tok Sidi, Meranti, Pasir Mas, Kelantan yang juga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dalam kejadian kira-kira  9.50 pagi itu.

Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah ketiga-tiga beradik itu yang tiba di tanah perkuburan pada 2.40 pagi dengan tiga van jenazah.

Jenazah kemudian disembahyangkan buat kali terakhir oleh sanak-saudara dan penduduk kampung.

Sementara itu, adik kelima mangsa, Nor Faizal, 31, berkata arwah kakaknya, Mimi Suziana bercadang untuk mengorbankan seekor kambing sempena Aidiladha yang akan disambut Rabu.

Beliau berkata kambing itu dibeli beberapa bulan lepas dan diternak ayahnya untuk sambutan berkenaan.

"Mimi Suziana adalah anak ketiga manakala Norfasmida anak ketujuh dan Ahmad Faris merupakan anak kesepuluh daripada sebelas beradik.

"Mereka bertiga memang rapat dan tidak pernah berpisah dan sering pulang ke kampung bersama-sama," katanya.

Artikel Lain