suria

Kerajaan dibenar jadi pencelah kes barang kemas Rosmah

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Isnin berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes saman yang difailkan oleh syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching, ketika ditemui oleh pemberita, berkata pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin telah membenarkan permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman tersebut.

"Berikutan keputusan ini, Global Royalty Trading SAL perlu meminta pernyataan tuntutannya untuk memasukkan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua,” kata beliau.

Beliau juga berkata Jabatan Peguam Negara akan meneliti saman itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Kerajaan telah memohon untuk menjadi sebahagian daripada kes saman Global Royalty terhadap Rosmah atas alasan bahawa barang kemas itu milik kerajaan dan dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Rosmah dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes saman tersebut.

Pada 26 Jun, Global Royalty telah memfailkan saman terhadap Rosmah menuntut beliau memulangkan balik 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga barang kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa bahawa Rosmah merupakan pelanggan tetapnya dan syarikat itu akan menghantar konsainmen barang kemas mengikut permintaannya.

Beliau kemudian akan menilai atau membeli barang kemas yang telah dipilih melalui pembayaran sama ada oleh defendan atau melalui pihak ketiga.

Firma itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan dan dalam keadaan tertentu, Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Plaintif juga mendakwa bahawa defendan akan menerima barang kemas tersebut secara peribadi atau melalui kakitangan/ejen di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa bahawa 10 Februari tahun ini, ia telah menghantar 44 unit barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi 2 ejen syarikat itu.

Plaintif berkata semasa penyerahan, defendan juga mengakui dan menerima terma-terma dan syarat-syarat dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang-barang kemas tersebut.

Global Royalty mendakwa bahawa Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei juga mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu tetapi berkata barang kemas tersebut tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah disita dan kini berada di bawah jaghaan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa bahawa pada sepanjang masa, plaintif adalah pemilik barang kemas tersebut dan pemilikan itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Global Royalty memohon perintah mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas, dan perintah yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Firma itu juga memohon perintah mandatori bagi Rosmah untuk menyediakan senarai barang kemas yang telah disita, perintah supaya barang kemas itu dipulangkan atau jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan kemasi itu berjumlah AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Rosmah dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 23 Julai nafi membeli mana-mana 44 unit barang kemas itu dan berkata barang kemas itu dihantar kepadanya untuk dipilih atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu dan tanpa sebarang obligasi untuk Rosmah membeli barang kemas itu. - Bernama

Rosmah Mansor, Global Royalty

Artikel Lain