suria

Kes Jong-nam: Dua wanita diarah bela diri

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan wanita warga Indonesia Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri daripada pertuduhan membunuh Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendawaan.

Ketika membuat keputusan itu, Azmi berkata, pihaknya mendapati bukti-bukti dan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah mencukupi untuk mengarahkan kedua-dua tertuduh membela diri.

Sehubungan itu mahkamah akan menetapkan tarikh untuk prosiding perbicaraan membela diri.

Azmi mengambil masa lebih dua jam untuk membacakan penghakimannya.

Sementara itu bagi prosding membela diri, kedua-dua tertuduh memilih untuk memberi keterangan di kandang saksi.

Kes berkenaan selesai dibicarakan selama 39 hari bermula 29 Oktober tahun lalu.

Sebanyak 236 bahan bukti dikemukakan termasuk pakaian milik kedua-dua tertuduh dan mangsa serta rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan pertuduhan, Siti Aisyah, 26, dan Thi Huong, 29, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pertama kali pada 1 Mac 2017, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Siti Aisyah diwakili peguam Gooi Soon Seng, manakala Thi Huong diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhammad Iskandar Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.-SinarHarian





Aisyah, Jong Nam, Klia2

Artikel Lain