suria

Kapal Equanimity dijual tahun ini - Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Kapal layar mewah  'Equanimity', dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low akan dijual dalam tempoh tiga atau empat bulan ini, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Beliau berkata kapal bernilai RM1 bilion itu, dipercayai sebahagian daripada aset dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dijual sementara menunggu proses litigasi, menerusi cara paling telus kerana pihaknya perlu mendapatkan wang daripada kapal itu.

"Kami menjangkakan proses (penjualan) akan selesai dalam tempoh tiga hingga empat bulan dengan syarat tiada siapa mencabar pemilikan  kapal itu di mahkamah negara ini.

"Wang yang akan kita dapat (daripada penjualan kapal) akan dipindakan ke dalam akaun tetap bank yang akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berjaya membuktikan pemilikan kapal itu dalam saman sivil,” katanya dalam sesi khas pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 di sini, Selasa.

Kapal layar mewah itu, dipercayai ada kaitan  dengan ahli perniagaan yang sedang melarikan diri Jho Low,  tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Kapal Equanimity disita di perairan Bali oleh pihak berkuasa Indonesia pada Februari atas permintaan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat  yang melancarkan siasatan rasuah membabitkan 1MDB berjumlah berbilion dollar.

Namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia menyitanya sekali lagi pada Julai susulan permohonan rasmi bagi bantuan perundangan daripada Amerika. Indonesia kemudian bersetuju untuk menyerahkan kapal itu kepada Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Thomas berkata Jho Low patut melantik peguam untuk mengetepikan perintah waran dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kapal mewah itu.

"Beliau patut melantik seorang peguam perkapalan yang bagus untuk mengetepikan perintah itu di mahkamah kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen Jho Low bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “merampas” prosiding undang-undang negara lain untuk mendapatkan Equanimity.

Lagipun, Thomas berkata beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam siasatan polis atau mana-mana pihak berkuasa relevan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Pelbagai agensi, masing-masing  melakukan siasat secara bebas dan kami menerima kertas siasatan (IP) selepas penyiasatan selesai. Setakat ini kertas SRC sudah diserahkan kepada kami," katanya.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi empat pertuduhan pecah amanah dan salah guna guna kuasa berkaitan dana SRC International. SRC ialah anak syarikat 1MDB sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan.

Dilaporkan pada 7 Ogos, 1MDB  menuntut hak milik ke atas  Equanimity, yang kini berlabuh di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pihak lain yang menuntut kapal itu ialah dua anak syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang percaya wang kerajaan telah diselewengkan untuk membeli kapal itu.

Turut dilaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengguna pakai bidang kuasa Admiralti  Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur ke atas kapal itu dan pada 6 Ogos, mahkamah mengeluarkan waran terhadap kapal itu.

Mengulas tentang campur tangan politik, Thomas berkata ahli politik berhak untuk menyatakan apa-apa sahaja.

"Saya tidak kisah. Prinsip subjudis tidak wujud. Saya menyokong kebebasan bersuara,” katanya.

Ketika ditanya tentang penjawat awam yang sabotaj atau membocorkan maklumat kepada kerajaan sebelum ini, Thomas berkata mereka akan didakwa sekiranya ada cukup bukti.

"Pertuduhan akan dikenakan terhadap beberapa individu," katanya.-- Bernama 


Equanimity, Tommy

Artikel Lain