suria

Bukan 39 tapi cikgu BM bagi 30/100 kepada Syed Saddiq

Seorang 'penanda kertas' memberikan markah 39/100 terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq.

PETALING JAYA: "Kalau saya, bagi markah 30 sahaja," itulah komen yang diberi seorang sarjana pendidikan bahasa Melayu berhubung kenyataan media yang dikeluarkan menteri belia dan sukan yang tular pada Isnin.

Seorang guru bahasa Melayu yang enggan dikenali berkata, terdapat penggunaan perkataan yang membawa maksud sama, tetapi digunakan berulang kali dalam satu perenggan.

Kenyataan media bertajuk "Berhubung isu pelepasan pemain skuad bola sepak Bawah 23 negara bagi temasya Sukan Asia 2018" yang dikeluarkan pada Ahad oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menjadi bahan ejekan netizen di media sosial.

Isu berkenaan tular selepas pengendali sebuah laman Facebook memuat naik kembali kenyataan media tersebut dan memberikan komen mengenai tatabahasa serta struktur ayat yang digunakan oleh ahli Parlimen Muar itu.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Belia dan Sukan.

Pada posting tersebut, 'penanda kertas' kenyataan media itu memberikan markah 39/100 kepada Syed Saddiq.

"Saya dah lihat komen yang ditulis di atas kenyataan media itu. Memang ada yang betul dan ada yang tidak betul.

"Terdapat banyak penggunaan kata yang berulang dalam satu ayat.

"Misalnya, perkataan 'bagi' tidak boleh diguna dua kali dalam ayat yang sama. Ia boleh digantikan dengan perkataan 'untuk'," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Kenyataan media yang telah diedit serta diberi markah selain tular di media sosial.

Guru yang juga berpengalaman lapan tahun sebagai guru bahasa Melayu berpandangan kenyataan media tersebut setara dengan karangan pelajar yang menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Tambahnya, penulisan ayat dalam beberapa perenggan kenyataan tersebut seharusnya diringkaskan dengan menggunakan laras bahasa yang lebih mudah difahami memandangkan ia pada asalnya dimuat naik menerusi akaun Facebook Rasmi KBSMalaysia.

Menurut guru yang mengajar di Sarawak itu, dia memahami perkara yang ingin disampaikan oleh Syed Saddiq, namun cara penyampaian yang digunakan adalah berbelit.


Antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Facebook.

"Mungkin beliau menggunakan laras bahasa sukan sebab itu ada orang yang tidak faham setelah membaca kenyataan media tersebut.

"Lebih cantik lagi jika YB Syed Saddiq menggunakan bahasa Melayu laras biasa supaya mudah diterima oleh orang awam," katanya.

Syed Saddiq

Artikel Sebelum

Lagi gajah mati ditembak

Artikel Lain