suria

Ustaz didakwa lakukan setubuh luar tabii terhadap pelajar lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang guru agama di sebuah Maahad Tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas tiga pertuduhan melakukan seksual fizikal  dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, di sekolah tahfiz itu.

Mohamad Ajmal Mohamed Khairi, 22, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa sebagai seorang yang diberikan amanah iaitu guru  kepada pelajar itu telah melakukan sentuhan seksual fizikal ke atas remaja lelaki itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan -Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang masih bujang itu didakwa telah membuatkan remaja lelaki itu menyentuh kemaluan tertuduh mengikut Seksyen 14(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta serupa yang memperuntukkan hukuman sama.

Mohamad Ajmal juga dituduh dengan sengaja telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa  sama mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan  maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Ketiga-ketiga kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah Maahad Tahfiz di sini antara 10.30 malam dan 12.30 tengah malam antara , 8 April 2018 dan 8 Jun lepas.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak membenarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Donny Abdullah memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh 10 hari  ditahan reman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes.--Bernama

tahfiz, ustaz, Donny Abdullah

Artikel Lain