Barang kemas Rosmah boleh dirampas jika tak diisytihar - Semasa | mStar

Barang kemas Rosmah boleh dirampas jika tak diisytihar

PETALING JAYA: Jika barang kemas dari sebuah firma di Lubnan yang dihantar ke Datin Seri Rosmah Mansor tidak diisytiharkan kepada Jabatan Kastam, barang-barang itu mungkin tertakluk kepada rampasan selanjutnya.

Menurut laporan Malaysiakini, Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam dipetik sebagai berkata demikian apabila ditanya mengenai penghantaran 44 barang kemas yang dirampas polis ketika ini.

Ketika dihubungi portal berita itu, Subromaniam berkata polis masih belum menghubungi jabatan tersebut.

"Apa-apa barang yang belum atau tidak diisytiharkan juga boleh dirampas," katanya.

Subromaniam mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana barangan kemas itu dibawa masuk tanpa melalui pemeriksaan kastam.

"Adakah konsainan ini diisytiharkan kepada Jabatan Kastam apabila dibawa masuk ke Malaysia?

"Siapakah yang menerima barangan ini? Adakah duti kastam dibayar? Bagaimana penghantaran barang-barang ini sampai kepada Rosmah dengan selamat sedangkan nilai barangan kemas ini sangat besar ini?" soal Rayer dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, pemborong barang kemas terkenal dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memulangkan atau membayar semula 44 barangan kemas berjumlah AS$14.79 juta (RM59.34 juta) yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.

Global Royalty Trading SAL selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Rosmah selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, firma yang berada di Beirut, Lebanon itu mendakwa Rosmah selaku defendan ialah pelanggan lama dan menjadi kebiasaan syarikat itu juga menjual barangan kemas di seluruh dunia termasuk kepada keluarga diraja.

Plaintif menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Februari lalu telah menghantar 44 unit barangan kemas antaranya kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara pada harga paling murah adalah subang berlian AS$124,000 (RM497,164) dan paling mahal cincin berlian AS$925,000 (RM3.7 juta).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel