suria

Bukan bisul, ibu gelisah benjolan misteri makin membesar

PETALING JAYA: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib malang yang menimpa seorang bayi comel berusia tiga bulan ini.

Jika bayi seusianya enak dihayun dalam buaian, Muhammad Irsyad Naim pula sering kali meragam gara-gara berperang menahan kesakitan.

Sejak sebulan yang lalu, satu benjolan timbul di bahagian bawah ketiaknya dan ia kini membesar sehingga lima sentimeter.

Bercerita kepada mStar Online, ibunya, Norfazliza Mohamed Hussain, 22, mengakui sedih mengenangkan nasib yang menimpa anaknya.

"Saya tak dapat bayangkan kesakitan yang ditanggung Irsyad. Kita sebagai orang dewasa pun tak tahan kalau naik bisul, apatah lagi benjolan besar seperti ini.

"Dari benjolan kecil masa raya hari tu, sekarang ia makin besar. Ia bukan sahaja membengkak kemerah-merahan malah mula bertukar biru. Bagi ubat tahan sakit pun tak berkesan," ujarnya sewaktu dihubungi, Jumaat.

Benjolan di bahagian bawah ketiak Irsyad yang muncul sebulan lalu kini membesar sehingga bersaiz lima sentimeter.

Menurut ibu muda itu, dia pada mulanya merujuk kes anaknya ke Hospital Banting dan mereka menetapkan 27 Julai ini untuk rawatan susulan.

Namun, dia sebagai ibu berasa pilu melihat derita anaknya dan tidak sanggup menunggu tarikh berkenaan dan memutuskan untuk membawa Irsyad ke klinik swasta.

Setelah dimaklumkan mengenai kos rawatan yang agak tinggi, dia memuat naik luahan hatinya di laman Facebook sebelum mendapat perhatian Hospital Banting untuk mempercepatkan tarikh rawatan anaknya.

Atas inisiatif itu, anaknya bakal dihantar untuk menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 18 Julai ini.

"Sehingga kini pihak hospital tak dapat kenal pasti apa penyakit Irsyad walaupun sampel darah sudah diambil.

"Harapan saya agar kesakitan yang ditanggungnya akan berakhir tidak lama lagi," jelasnya lagi.

Tambah memilukan, suaminya, Mohd Nazri Mohd Nasir, 31, hanya bekerja sebagai tukang kimpal di Banting, manakala dia pula tidak bekerja.

Mereka mendirikan rumah tangga empat tahun lalu dan mempunyai seorang lagi cahaya mata, Muhammad Naqif Ilman, 3 tahun.

Salah satu paparan skrin rayuan ibu Irsyad, Nurfazliza yang bingung mengenangkan nasib anaknya.

Menerusi laman Facebook miliknya, dia turut merayu jika ada mana-mana pihak yang mahu menyumbang seikhlas hati untuk kos perubatan anaknya.

"Kos perubatan belum diputuskan lagi, saya perlu bersedia sahaja. Kemungkinan sekitar RM10,000.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih jika ada mana-mana pihak yang sudi untuk membantu meringankan beban kami," ujarnya lagi.

Mereka yang sudi untuk membantu kos rawatan bayi malang itu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank atas nama Norfazliza Mohamed Hussain - 162058997936.

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh menghubungi Norfazliza di talian 019-3475386.

Selain di Facebook, rakan Norfazliza turut memuat naik perkongsian mengenai Irsyad di laman Twitter dan mendapat lebih 13,000 ulang kicau (retweet).

Muhammad Irsyad Naim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain