suria

Kecoh pelajar UiTM bikin 'sinetron' di Ikea

Paparan skrin video 'sinetron' yang dirakamkan oleh sekumpulan anak muda di Ikea sehingga tular.

PETALING JAYA: Jika sebelum ini tular pengunjung gedung perabot dan kelengkapan rumah Ikea di China menjadikan sofa dan katil sebagai tempat berehat dan melelapkan mata, namun lain pula bagi sekumpulan anak muda tempatan ini.

Menerusi dua video yang tular di media sosial, seorang pemuda yang sedang duduk di sofa bangun dalam keadaan marah mempersoalkan di mana makanannya.

Dalam perjalanannya ke dapur, dia bertembung dengan seorang gadis yang sedang duduk di meja makan, sebelum masuk ke dapur dan ‘mendera’ seorang tukang masak.

Sebuah lagi video pula menunjukkan seorang pemuda memainkan watak sebagai pengacara Zakiah Anas bagi program 999 yang membuat liputan di lokasi ‘kejadian’.

Menggunakan botol minuman sebagai mikrofon, pengacara ini menunjukkan 'mangsa' ditemui terbaring di tab mandi, dan kelihatan seorang lagi sedang mengambil gambar mangsa.

Dua video yang dimuat naik di Twitter @razziyusoff menarik perhatian kerana menjadikan perabot-perabot di bahagian pameran di gedung Ikea sebagai props.

Pengguna Twitter berkenaan, Amierul Razzi Ahmad Yusoff, 23, berkata, video tersebut dirakamkan pada Isnin lalu, sewaktu dia bersama empat rakan sekelasnya berkunjung ke gedung Ikea di Mutiara Damansara untuk makan.

Amierul Razzi Ahmad Yusoff.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda jurusan Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam ini memberitahu, empat lagi rakan sekelasnya adalah Imran Zulkefli, Farah Adiba Mohamad Fadzil, Amin Rashidi Ramli dan Nur Zalikha Noor Kashfi, masing-masing 23 tahun.

Lebih mesra dipanggil Razzi, katanya, idea spontan menggunakan telefon pintar itu timbul apabila melalui ruangan pameran di gedung itu.

“Tak sangka video tu tular sebab itu memang perangai kami yang suka rakam video. Kalau ada masa terluang di fakulti pun pasti rakam video. 

“Video yang dirakam di Ikea itu sekadar suka-suka. Semuanya dibuat tanpa skrip dan rakaman hanya dibuat sekali dari mula sampai akhir. 

“Saya cuma beritahu pada rakan yang memegang watak pertama untuk memulakan aksi dan semua yang lain mengikut kreativiti masing-masing semasa rakaman pendek yang dibuat hanya beberapa saat,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Razzi, video pendek berdurasi kira-kira 15 saat itu sebenarnya dikongsi di akaun Instagramnya menerusi Insta Story sebelum dimuat naik di Twitter dan menjadi tular.

Razzi yang berasal dari Subang Jaya itu turut mendedahkan sebenarnya terdapat empat video yang dirakam di Ikea pada Isnin lalu.

“Selain sinetron dan tukang masak dijumpai mati, dua video lagi yang belum dimuat naik adalah ‘pertabalan permaisuri’ dan ‘open house raya’,” katanya sambil menambah dia hanya merakamkan video manakala rakan-rakan lain berlakon.

'Pelakon' dalam video yang tular, Amin Rashidi (atas, kiri), Nur Zalikha (atas, kanan), Farah Adiba (bawah, kiri) dan Imran.

Walaupun sering membuat video bersama rakan-rakan untuk tujuan suka-suka, Razzi berkata, video di Ikea itu merupakan pertama kali rakaman dibuat di tempat awam.

“Maaflah kalau ada yang nampak pelik atau rasa terganggu dengan gelagat kami. Tapi kami buat sekadar suka-suka saja, tak lebih daripada itu.

“Ikutkan memang ada orang ramai yang tengok, malah gelakkan kami beraksi tapi mereka terhibur. Kami pun tebalkan muka saja, nak buat video ni mana boleh malu,” kata Razzi yang mengagumi karya video editor antarabangsa, Peter Mc Kinnon.

Ikea, sinetron

Artikel Lain