suria

Gelang emas derma tabung ikat jamin ditawar RM3,000

Najib memegang gelang emas yang disumbangkan oleh Zaleha untuk Tabung Solidariti Bebaskan Najib ketika para penyokongnya hadir melawat beliau di kediamannya pada Ahad.

PETALING JAYA: Selepas kisah mengenai tindakan Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin mendermakan gelang emas miliknya tular, kini tampil seorang individu meluahkan hasrat membeli gelang tersebut untuk disimpan sebagai tanda kenangan.

Datuk Zaleha Bujang berkata, individu tersebut menawarkan wang sebanyak RM3,000 untuk membeli gelang emas itu, namun enggan mendedahkan identitinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib tersentuh gelang dikorban, Zaleha kata bantu bekas PM ‘hak peribadi’

ARTIKEL BERKAITAN: Demi Najib, sanggup 'lepas' gelang emas kesayangan

"Selepas dia dengar saya nak sumbangkan gelang emas kepada Tabung Solidariti Bebaskan Najib, dia hubungi saya secara peribadi untuk membelinya.

"Dia tanya harga asal gelang ini dan sanggup membayar pada harga lebih tinggi iaitu RM3,000," katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Kata Zaleha, beliau terkejut dan berasa terharu dengan sokongan diberikan individu tersebut.

Gelang emas yang disumbangkan oleh Zaleha.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa Umno di Serkam, Suriani Zahari turut mendermakan gelang emas dan wang tunai kepada tabung tersebut.

"Saya ikut Datuk (Zaleha) menyerahkan seutas gelang yang dibeli ketika saya mula bekerja dahulu," kata Suriani ringkas dalam video yang dimuat naik oleh Zaleha pada Sabtu.

Nilai serahan yang disampaikan daripada Wanita Umno Bahagian Jasin pada Ahad adalah RM10,261 dan dua gelang emas bernilai RM10,000.

Dalam pada itu, mStar Online pada Sabtu melaporkan Najib berasa tersentuh hati selepas mengetahui tentang kesanggupan Zaleha mengorbankan gelang emasnya untuk membantu membayar wang ikat jamin bekas Presiden Umno itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatannya di Twitter berkata: "Saya sangat tersentuh hati dengan kesanggupan Puan Zaleha Bujang, Ketua Wanita Jasin mengorbankan gelang kesayangannya untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan ikat jamin saya."

Najib memuat naik posting tersebut di Twitter pada Jumaat malam selepas berita mengenai sumbangan Zaleha itu dilaporkan mStar Online pada hari yang sama.

Zaleha Bujang, gelang emas

Artikel Lain