suria

Timbalan menteri disangka ‘pegawai khas LGBT’ Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Isu seorang aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kononnya dilantik sebagai pegawai khas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berkesudahan walaupun Menteri Belia dan Sukan itu telah menjelaskan tiada pelantikan pegawai di pejabatnya ketika ini. 

ARTIKEL BERKAITAN: Khabar angin pegawai khas dilantik aktivis LGBT, ini jawab Syed Saddiq

Antara yang mempertikaikannya adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, dengan memuat naik paparan skrin direktori pejabat menteri yang memaparkan nama aktivis itu sebagai pegawai khas kepada Syed Saddiq.

Namun yang menjadi perhatian netizen apabila Fathul Bari turut memuat naik gambar Syed Saddiq bersama seorang ‘individu’ sedang mengetip perakam waktu pada hari pertama bertugas di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Yang ni ka? Pagi tadi ada di laman direktori KBS lepas tu dah padam. Itu yang ‘punch’ kad tu siapa?” katanya memberi respons di Twitter.

Syed Saddiq (kiri) bersama imbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (dua, kiri) yang sedang mengetip perakam waktu.

Seorang pengikut laman sosial itu kemudian membalas pertanyaan beliau dengan memaklumkan bahawa individu bersama Syed Saddiq di dalam gambar tersebut sebenarnya adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

“Salam @drfathulbari, yang dalam gambar tengah punch adalah @scheekong, timbalan menteri. Cuba Google dulu sebelum Tweet,” kata pengguna Twitter @syahredzan, sebelum ia diulang kicau oleh Syed Saddiq sendiri di laman sosial.

Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kangar membalas dengan mengucapkan terima kasih di atas makluman tersebut, dan menjelaskan bahawa status tersebut bersifat soalan dan bukan tuduhan.

“Terima kasih. Dah ada orang bagi tau. Dan tweet tu bersifat ‘soalan’ bukan hentam semberono,” katanya sambil mengulangi persoalan mengapa nama aktivis LGBT yang sebelum ini dipaparkan dalam direktori KBS kemudiannya telah dipadamkan.

Terdahulu, tular mengenai nama aktivis LGBT itu sebagai pegawai khas Syed Saddiq yang dipaparkan dalam direktori KBS sebelum ia dipadam. 

Syed Saddiq dalam kenyataannya pada Jumaat malam memberitahu bahawa setakat ini tiada seorang pun pegawai yang telah dilantik di pejabatnya secara rasmi.

“Saya terpanggil untuk memberi penjelasan berhubung dengan khabar-khabar angin pelantikan pegawai di pejabat Menteri Belia dan Sukan.

“Sehingga kini, tiada satu pun pegawai yang telah dilantik di Pejabat Menteri Belia dan Sukan secara rasmi. Setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas juga belum ada,” katanya menerusi status di Facebook miliknya.

Tambah Syed Saddiq, beliau masih dalam proses menemuduga pegawai-pegawai untuk berkhidmat di pejabatnya di KBS.

Desas-desus mengatakan aktivis LGBT berkenaan pernah terbabit dalam penganjuran acara buka puasa ‘gay’ secara besar-besaran di Kuala Lumpur, Jun tahun lalu.

Syed Saddiq, Steven Sim, Fathul Bari, LGBT

Artikel Lain