suria

Najib tersentuh gelang dikorban, Zaleha kata bantu bekas PM ‘hak peribadi’

Ucapan terharu Najib kepada Zaleha di atas kesanggupannya mengorbankan gelang emas untuk menyumbang kepada Tabung Solidariti Bebaskan Najib. - Twitter

PETALING JAYA: Kesanggupan Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang mendermakan gelang emas miliknya kepada Tabung Solidariti Bebaskan Najib pada Jumaat mendapat perhatian bekas perdana menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatannya di Twitter berkata: "Saya sangat tersentuh hati dengan kesanggupan Puan Zaleha Bujang, Ketua Wanita Jasin mengorbankan gelang kesayangannya untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan ikat jamin saya."

Najib memuat naik posting tersebut di Twitter pada Jumaat malam selepas berita mengenai sumbangan Zaleha itu dilaporkan mStar Online pada hari yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi Najib, sanggup 'lepas' gelang emas kesayangan

Tweet tersebut diulang kicau (retweet) sebanyak 1,052 kali dan mendapat 2,879 tanda suka (likes).

Sementara itu, Zaleha berkata, beliau berasa terharu di atas ucapan tersebut kerana amat menghormati bekas pemimpin negara itu.

"Saya mahu ucapkan terima kasih sebab Datuk Seri Najib dapat tulis tweet begitu.

"Apa yang saya lakukan adalah sebagai tanda hormat kepadanya yang membuatkan saya dapat menikmati kemakmuran negara pada zaman pemerintahan beliau," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi, Sabtu.

Paparan skrin daripada klip video Zaleha ketika menyerahkan gelang emas miliknya yang dimuat naik ke laman Facebook pada Jumaat.

Walaupun tindakannya mendermakan gelang emas itu meraih pujian orang ramai, namun tidak kurang juga terdapat pihak yang menghentam inisiatif tersebut.

Namun, Zaleha enggan mengambil hati kecaman yang dilemparkan kepadanya kerana menganggap ia lumrah apabila seseorang ingin melakukan kebaikan.

"Ada yang cakap baik saya bantu orang Syria, Palestin dan Rohingya. Ya, saya sudah pernah bantu mereka.

"Jadi ini adalah hak peribadi jika saya ingin membantu sesiapa sahaja, saya bukan membantu Datuk Seri Najib seorang," katanya yang berharap ia dapat membuka mata pihak yang didakwanya telah menganiayai ahli Parlimen Pekan itu.

Tambah Zaleha, beliau menyasarkan kira-kira RM10,000 dapat dikumpulkan daripada kesemua 89 cawangan Umno Bahagian Jasin dan wang sumbangan itu akan diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab ke atas tabung tersebut, Sabtu.

mStar Online pada Jumaat melaporkan, Tabung Solidariti Bebaskan Najib yang diwujudkan oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan sudah pun mengumpul kutipan berjumlah RM86,282 setakat petang Jumaat.

Atas inisiatif itu, Zaleha turut mendapat inspirasi bagi membantu bekas perdana menteri itu dengan menyerahkan seutas gelang emas miliknya untuk didermakan kepada tabung itu.

Selain gelang, Zaleha turut menyumbangkan sejumlah wang tunai untuk tabung berkenaan. Namun, dia tidak mahu mendedahkan jumlah sumbangannya itu.

Mengulas mengenai sumbangan barang kemas, dia mengambil pendekatan itu bagi mengikut jejak langkah kumpulan wanita zaman dahulu yang sanggup mendermakan barang kemas mereka dalam usaha menuntut kemerdekaan negara.

Najib Razak, Zaleha Bujang

Artikel Lain