suria

Ikan kaloi jadi ‘penghibur’ selama 20 tahun

Saudi menujukkan kaloi peliharaan keluarganya yang bersama mereka sejak 20 tahun lalu. - Sinar Harian

JERANTUT: Jika orang lain jadikan kucing, arnab atau burung sebagai binatang peliharaan kesayangan namun berbeza dengan seorang warga emas di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Tembeling.

Siti Khadijah Mohd Amin, 70, setia bersama ikan kaloi yang menjadi peneman dan penghibur keluarganya sejak 20 tahun lalu.

Ikan kaloi atau nama saintifiknya Osphronemus goramy itu menjadi kesayangan keluarganya malah turut menjadi perhatian penduduk setempat.

Mula memelihara kaloi itu dengan hanya sebesar tiga jari, ikan itu terus membesar dan kini beratnya mencecah sehingga 15 kilogram (kg).

Jinak dan suka apabila namanya dipanggil, kaloi akan segera datang.

Siti Khadijah berkata, dia tidak memberi nama lain kepada ikan kesayangannya itu dan hanya memanggilnya kaloi sahaja.

“Kami sekeluarga hanya panggil kaloi sahaja. Dulu kecil dan duduk di dalam akuarium tetapi kerana saiznya makin besar terpaksa dipindahkan ke dalam kolam khas yang dibina di hadapan rumah.

“Bila nak bagi makan tu memang seronok, kadang-kadang akan timbul melompat nak makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya selain memberikan makanan khas untuk ikan, kaloi gemar makan kangkung, timun muda serta gumpalan nasi.

Siti Khadijah tidak rela berpisah bersama kaloi kesayangannya.

“Setiap pagi dan petang sudah jadi rutin saya berikan makanan kepada Kaloi.

Saudi menujukkan kaloi peliharaan keluarganya yang bersama mereka sejak 20 tahun lalu.
“Kadang-kala tukar air di kolamnya dan memang tak sangka kaloi boleh hidup lama sehingga kini,” akuinya.

Ujar Siti Khadijah, ikan tersebut diperoleh arwah suaminya Abdullah Imam Akob ketika menjala di Sungai Jelai.

“Saya dan arwah suami pun pelihara kaloi ini dan anak-anak serta cucu turut sayangkan ikan ini. Ia ada nilai sentimental buat saya kerana mengingatkan pada arwah suami.

“Apatah lagi sejak arwah meninggal dunia lima tahun lalu, kaloi ini jadi penghibur dan peneman saya,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada 12 anak dan 30 cucu itu mengakui pernah ditawarkan individu untuk menjual ikan tersebut.

“Tapi saya tak sanggup nak melepaskannya. Biarlah dia bersama kami sekeluarga selagi boleh.

“Tak boleh bayangkan sebab kaloi ini juga menjadi kesayangan anak-anak dan cucu,” ujarnya.

Sementara itu anaknya, Saudi Abdullah, 50 memberitahu, kaloi tersebut istimewa dan menjadi kesayangan mereka sekeluarga.

Menurutnya, ikan itu disifatkan peneman setia ibunya dan menganggap ia juga antara ahli keluarga sendiri.

ikan kaloi

Artikel Lain