RM2.6 bilion tetap wang derma - Semasa | mStar

RM2.6 bilion tetap wang derma

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menegaskan bahawa dana sebanyak AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke akaun peribadinya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah derma kerabat diraja Saudi.

Menurut laporan portal Malaysiakini, Najib berkata kira-kira RM2.5 bilion (AS$620 juta) daripada jumlah keseluruhan telah dikembalikan kepada penderma terbabit selepas PRU13.

Najib turut memaklumkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sejumlah dana itu telah dikembalikan.

Beliau menjelaskan wang derma itu diperoleh susulan pertemuannya dengan almarhum pemerintah Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

“Saya minta baginda dukung kerajaan (Malaysia) kerana saya rasa kerajaannya ada rekod membantu kerajaan-kerajaan lain yang agak mesra dengan mereka.

“Jadi tiada apa yang peliknya dengan permintaan saya dan baginda setuju menyokongnya dan kemudian kami terima surat dan kemudian wang dimasukkan pada masa yang sama baginda janji untuk menderma.

“Saya maklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Bank Negara dimaklumkan bahawa dana itu akan masuk,” katanya memetik laporan Malaysiakini pada Isnin.

Najib kemudian melancarkan serangan halus terhadap Pakatan Harapan kerana mendakwa beliau mengambil wang derma tersebut.

“Pakatan Harapan beritahu rakyat saya ambil ‘RM2.6 bilion’ tetapi mereka tidak pernah beritahu wang itu dikembalikan saya pada sumber yang sama. Ini tidak adil,” katanya.

“Jika tujuannya untuk mencuri, kenapa saya guna bank akaun tempatan atas nama sendiri?

“Saya guna wang itu untuk pilihan raya (GE13) dan lepas pilihan raya, (baki) wang itu dipulangkan. Setahu saya, itu satu perkara yang bertanggungjawab,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan amat penting mempunyai wang yang banyak bagi tujuan kecemasan selepas pilihan raya.

Katanya, apa sahaja boleh berlaku, termasuk berulangnya ancaman “916" dalam pilihan raya umum ke-12.

“Insiden 916” merujuk kepada tindakan pemimpin pembangkang pada 2008 Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata 30 orang anggota parlimen BN akan melompat parti, yang sekali gus akan menjatuhkan kerajaan BN dan menjadikan beliau perdana menteri.

Ditanya kenapa beliau memulangkan wang itu, Najib berkata beliau tidak selesa memegang “derma” yang banyak.

“Saya tidak selesa dengan wang sebegitu dalam sistem ini kerana saya tidak yakin integriti sistem itu, ia mungkin boleh bocor.

“Dan saya fikir dalam pilihan raya berikutnya, jika saya perlu (dana), saya boleh saja kembali (pada sumber),” katanya.

Beliau juga ditanya sama ada “penderma” sanggup tampil membersihkan namanya jika beliau dituduh di mahkamah.

Najib menjawab beliau mempunyai surat-menyurat dan dokumen berkaitan pergerakan dana itu “menteri luar Saudi secara terbuka tampil mengesahkan ia sebagai derma”.

“Saya bertindak dengan niat yang baik. Selain itu, Raja Abdullah anugerahkan saya dengan pingat tertinggi dari Saudi.

“Hanya (bekas presiden Amerika Syarikat) (Barack) Obama dan (Presiden Rusia Vladimir) Putin yang ada pingat sama. Ini menunjukkan tahap kepercayaan baginda pada saya,” katanya.

Najib Razak , 1MDB , derma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel