suria

Akaun TAFF dibekukan, dakwa Tengku Puan Pahang

Tunku Azizah (tengah) dan suaminya, Tengku Abdullah (empat dari kanan) bergambar bersama anak-anak baginda. - Twitter

PETALING JAYA: Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluahkan kekecewaannya apabila akaun bank Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) dibekukan tanpa dimaklumkan oleh pihak bank terlebih dahulu.

Isteri kepada Tengku Mahkota Pahang Tuanku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu mendakwa tindakan itu adalah tidak adil dan baginda hanya mengetahui mengenainya selepas cek yang dikeluarkan terpaksa dikembalikan.

"Akaun HSBC Yayasan Kesuburan Tunku Azizah telah dibekukan... kenapa, kenapa, kenapa?

"Saya percaya dalam ketelusan dan kebertanggungjawaban. Ini adalah tidak adil dan tidak dimaklumkan juga.

"Saya hanya tahu selepas cek dikembalikan," katanya melalui posting yang dimuat naik di Twitter ‪pada petang Sabtu‬.

Dakwa baginda, tindakan membekukan akaun bank yayasan tersebut menyebabkan pihaknya tidak dapat memberikan tajaan rawatan kepada pasangan yang ingin mendapatkan anak ekoran tiada wang buat masa ini.

Tambah Tunku Azizah Aminah Maimunah, TAFF bergantung sepenuhnya kepada hasil kutipan derma dan jualan buku masakan.

"TAFF tidak ada apa-apa untuk disembunyikan, kami membantu pasangan yang tidak mempunyai anak untuk mencapai impian mereka. Kenapa, kenapa, kenapa!

"Siapakah yang mengarahkan agar akaun TAFF dibekukan? Saya tidak marah, tapi sekurang-kurangnya maklumkan kepada kami dan jelaskan mengapa," menurut catatannya itu.

Bagaimanapun, baginda yang juga pengasas TAFF menjelaskan bank HSBC ada menghantar surat kepada baginda pada Disember 2017 untuk mengisytiharkan aset ahli komuniti yayasan itu, namun Tunku Azizah Aminah Maimunah mengakui bahawa baginda terlupa untuk membalasnya sehingga menyebabkan akaun itu dibekukan pada Jun.

Tengku Puan Pahang menantikan jawapan daripada pihak bank berkenaan berhubung perkara itu dan pada masa baginda mempertimbangkan untuk membuka akaun baharu bagi yayasan itu di bank lain.

Bonda kepada lapan anak itu menubuhkan TAFF pada Ogos 2004 selepas melalui pengalaman sendiri yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan anak.

TAFF merupakan yayasan yang memberikan tajaan kepada pasangan yang dipilih untuk menjalani rawatan kesuburan (IVF) di pusat kesuburan yang mengambil bahagian di negara ini.

Tengku Puan Pahang

Artikel Lain