suria

Tiga maut, empat parah

Foto Facebook.

TEMERLOH: Tiga maut, empat parah termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan Kuala Lumpur dekat Batu 7, Mentakab pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah dua beradik yang juga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Khasrul Haizal Bin Mohd Yusof, 20 dan Khasrul Ikhwan (umur masih belum diperolehi) serta pemandu Toyota Hilux Chua Jyh Shyong, 37.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata empat lagi yang cedera ialah pemandu MPV, Mohd Yusof Ghazali, 37, isteri serta dua anak lelaki mereka, bagaimanapun maklumat lengkap mangsa cedera bersama dua yang terselamat (tidak cedera) masih belum diperoleh.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler membawa muatan kertas yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan tiba-tiba terbabas ke laluan bertentangan.

“Kenderaan berat itu kemudian melanggar MPV yang dinaiki lapan sekeluarga yang beralamat di Sungai Penchala, Kuala Lumpur itu serta kenderaan pacuan empat roda dari arah hadapan menyebabkan tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.

Katanya selepas kejadian, pemandu treler bernombor pendaftaran BPB 5411 itu dipercayai melarikan diri dan polis sedang mengesan lelaki terbabit.

Beliau berkata siasatan turut mendapati lesen memandu Mohd Yusof telah tamat tempoh pada 22 Jun lalu serta mangsa yang cedera dan meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS). - BERNAMA

kemalangan

Artikel Lain