suria

Farmasi KK Tampin musnah terbakar

SEREMBAN: Perkhidmatan Klinik Kesihatan Tampin dekat sini dipindahkan ke Klinik Pakar Hospital Tampin, berkuat kuasa Khamis, susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan farmasi klinik berkenaan pagi hari sama.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali berkata kebakaran itu berlaku kira-kira 5 pagi  dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Berdasarkan pemeriksaan mendapati hanya unit farmasi klinik kesihatan tersebut sahaja mengalami kerosakan dan tidak melibatkan bahagian lain.  

“Perkhidmatan klinik berkenaan akan dipindahkan sementara waktu ke Klinik Pakar, Hospital Tampin serta-merta sehingga kerja-kerja membaik pulih kerosakan selesai dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini.  

Beliau berkata semua pesakit yang memerlukan rawatan pesakit luar dan berkala boleh mendapatkan rawatan di Hospital Tampin berkuat kuasa Khamis sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Sebarang  pertanyaan melibatkan rawatan pesakit boleh berhubung dengan Pejabat Kesihatan Tampin menerusi talian 06-4411643,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Tampin Mohd Hilmi Ayob berkata kebakaran melibatkan bahagian penyimpanan ubat-ubatan dan fail yang musnah 60 peratus.

"Bomba terima panggilan pukul 5.36 pagi, seramai 16 anggota dari Balai Bomba Tampin tiba bagi memadamkan kebakaran dan turut dibantu Balai Bomba Rembau. 

Api berjaya dikawal 10 minit kemudian namun kebakaran dikawal sepenuhnya pukul 7 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Artikel Berikut

Artikel Lain