suria

Abu Kassim dijangka ganti Ali Hamsa jadi KSN

Abu Kassim.

SHAH ALAM: Selepas beberapa ketika dilantik menjadi ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), nama Tan Sri Abu Kassim Mohamed juga disebut untuk mengisi jawatan utama dalam sektor kerajaan.

Beliau dikatakan bakal menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa selaku Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam masa terdekat ini.

Ali yang kini berusia 63 tahun akan bersara penghujung Ogos depan selepas perkhidmatannya yang disambung secara kontrak ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekiranya cadangan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, GIACC yang diketuai Abu Kassim berkemungkinan akan diletakkan secara terus di bawah KSN.

Keadaan ini akan membuatkan KSN lebih fokus kepada komitmen kerajaan untuk membasmi rasuah dari semua peringkat.

Buat masa ini, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN); Institut Integriti Malaysia (IIM); Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah diletakkan di bawah GIACC.

Sumber itu berkata, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkemungkinan akan dilantik sebagai KSN pada awal Julai ini.

Dr Mahathir menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada majlis perjumpaan di Dataran Putra sambil disaksikan oleh Ali (kiri).

”Pemilihan Abu Kassim dibuat sebagaimana kata-kata Dr Mahathir sebelum ini yang mahu kepakaran beliau membasmi rasuah.

”Beliau ada banyak pengalaman dalam SPRM. Beliau juga berpengalaman di peringkat antarabangsa dan berhubung dengan beberapa agensi anti rasuah lain, selain banyak memberi syarahan antirasuah,” katanya.

Tugas Abu Kassim di SPRM sepatutnya berakhir 4 Disember 2018, bagaimanapun, beliau mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk menamatkan perkhidmatannya lebih awal 1 Ogos 2016, selepas tiga kali memohon.

Kekosongan jawatan yang ditinggalkan Abu Kassim kemudiannya diisi oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika negara dilanda kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan siasatan SRC International yang berkait rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan BN.

Turut terpalit kontroversi ketika itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull memilih untuk bersara wajib, manakala Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali pula dipinjamkan ke Jabatan Imigresen Malaysia.

Antara sebab Abu Kassim memilih untuk menamatkan perkhidmatan awal dengan SPRM adalah kerana beliau menerima tawaran daripada International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah di Austria.

Sekembalinya dari Austria, Abu Kassim dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sepanjang tempoh berkenaan, kepakaran Abu Kassim turut digunakan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa audit universiti.

Pentadbiran Mahathir kini dilihat sedang melakukan ‘pembersihan’ pegawai kanan kerajaan yang disambung kontrak selepas bersara.

Antaranya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dipendekkan perkhidmatannya kepada 14 Jun.

Irwan Serigar diberi lantik kontrak mulai 7 Mac tahun lalu dan berakhir 6 Mac 2019. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Artikel Lain