suria

UPSI batal penggantungan pengajian Adam Adli

Adam Adli berkongsi surat yang diterimanya dari UPSI di Facebooknya.

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membatalkan penggantungan pengajian selama lima tahun terhadap aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim.

Memetik laporan sebuah portal, perkara itu diputuskan selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada tuduhan menghasut berhubung ucapan yang dibuat Adam beberapa hari selepas Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013.

UPSI, dalam surat kepada Adam Adli, berkata pihak universiti telah dimaklumkan Pejabat Peguam Negara bahawa mahkamah telah membersihkannya dari salah laku.

“Sehubungan itu, saudara dengan ini dilepaskan daripada pergantungan tersebut dan dibenarkan untuk menyambung pengajian di universiti ini mulai 10 September 2018,” demikian menurut surat tersebut.

Adam turut berkongsi surat itu di laman Facebooknya.

“Belum buat keputusan lagi. Doakan yang baik-baik," tulisnya.

Adam digantung pengajian di universiti pada 6 September 2013, berikutan pertuduhan hasutan di mahkamah itu.

Sebelum penggantungannya, Adam Adli memimpin bantahan pelajar mengenai pelbagai isu termasuk dana Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

UPSI, Adam Adli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain