suria

Kabinet penuh: Tun M kata 'tunggulah sekejap...'

Dr Mahathir Mohamad. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Senarai barisan menteri Kabinet yang penuh akan diselesaikan pada minggu depan.

Perkara itu diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra di sini, Rabu.

"Saya mahu penuhkan barisan Kabinet saya kalau boleh pada minggu ini, tetapi ia mungkin akan dilanjutkan sehingga ke minggu depan," katanya pada sidang media.

Ditanya mengenai jumlah menteri bagi mengambil kira daripada wakil rakyat Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir memberitahu perkara tersebut akan diumumkan kelak.

"Kita akan mengambil kira semua pandangan dan tunggulah sekejap. 

"Kami akan beritahu 26 (menteri), 27, 28 atau 500," katanya secara berseloroh.

Pada 21 Mei lalu, 13 menteri baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Pakatan Harapan yang berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu bagaimanapun hanya mengumumkan 13 menteri Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama tiga menteri kanan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Barisan Kabinet lain adalah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ini termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri Tenaga Manusia, Kulasegaran V.Murugeson.

Pada 10 Mei lalu, iaitu sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Dilaporkan, Kabinet Malaysia di bawah Dr Mahathir bakal menyaksikan seramai 28 orang menteri dilantik berbanding 35 ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Lain