suria

Sultan Selangor jumpa Azmin esok

Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei lalu. - FotoBERNAMA

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada Selasa bagi berbincang dan menyelesaikan masalah berkaitan pentadbiran negeri ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata pertemuan tersebut akan diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini, pada pukul 11 pagi, iaitu sehari sebelum Mohamed Azmin dijadual berangkat menunaikan ibadah umrah selama seminggu bermula Rabu.

“Ia juga adalah pertemuan Mohamed Azmin sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 19 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 30 Mei lepas, Sultan Selangor berkenan untuk diadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu pada tarikh berkenaan.

Ia adalah susulan Mohamed Azmin yang telah dilantik sebagai menteri besar untuk penggal kedua sebelum ini menyertai Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Antara wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut bakal menggantikan Mohamed Azmin ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Adun Sungai Tua Amirudin Shari, Adun Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei, Adun Ijok Dr Idris Ahmad dan Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman. - BERNAMA

Artikel Lain