suria

Gopal Sri Ram cadang Idrus Harun sebagai Peguam Negara

Gopal Sri Ram.

PETALING JAYA: Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara (AG) yang baharu.

Dalam temu bual bersama stesen radio tempatan Lite and Easy, Sri Ram berkata Idrus akan menjadi calon terbaik kerana beliau memiliki pengalaman yang diperlukan untuk memegang jawatan tersebut.

"Beliau adalah peguamcara negara. Beliau seorang yang sangat baik. Jadi sekiranya perdana menteri bertanya kepada saya dan Datuk Abdul Kadir Sulaiman (bekas hakim Mahkamah Persekutuan) siapa yang kami akan cadangkan, kami akan katakan Idrus Harun," kata Sri Ram.

Sri Ram berkata Idrus akan menjadi Peguam Negara yang baik kerana beliau memahami tugas Jabatan Peguam Negara kerana pernah berada di sana selama bertahun-tahun.

Beliau juga berkata Idrus pernah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekurang-kurangnya dua kali tetapi tidak membincangkan pelantikan Peguam Negara.

Jelas Sri Ram, Idrus telah diketepikan susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Beliau telah diketepikan dan diletakkan di dalam badan kehakiman dengan dilantik menjadi hakim di Mahkamah Rayuan, tetapi beliau sesuai untuk jawatan Peguam Negara," katanya.

Dr Mahathir mencadangkan Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara tetapi tidak mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mahu Thomas menggantikan Tan Sri Apandi Ali yang kini diarahkan kerajaan mengambil cuti tanpa rekod selama 30 hari.

Idrus Harun, Peguam Negara

Artikel Lain