suria

Petisyen bantah tuntutan Hindraf

SHAH ALAM: Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) supaya kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum terus mendapat perhatian ramai apabila petisyen dalam talian membantah tuntutan itu diwujudkan.

Petisyen Change.org oleh Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM) yang menyatakan pendirian membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum, dilancarkan pada Selasa.

Setakat jam 3.30 petang petisyen itu menerima lebih 78,000 tandatangan daripada 150,000 tandatangan yang diperlukan.

Menurut Presiden PAUiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan, petisyen berkenaan adalah untuk memastikan UiTM tidak terus diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan mencadangkan supaya institusi itu diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu.

“PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen dan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya PAUiTM mencadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan terus mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu,” menurut petisyen itu.

Petisyen tersebut turut menyatakan kebimbangan kenyataan oleh Hindraf 2.0 itu seperti ‘menuang minyak ke api’ akan mencetuskan kemarahan umat Melayu dan Bumiputera di Malaysia dan kenyataan seperti itu perlu dihentikan oleh semua pihak.

Petisyen boleh ditandatangani dalam talian menerusi https://www.change.org/p/

Semalam, Hindraf 2.0 menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembangunan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.-SinarHarian

 


PAUiTM, Hindraf

Artikel Lain