suria

Aduan penumpang turun drastik sejak Mavcom diperkenal

Sejak Mavcom diperkenalkan, aduan seperti kehilangan bagasi turun drastik. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa  kecewa berhubung ulasan tidak berasas yang diberikan Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Malaysia (4PAM) terhadap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Jumaat lepas.

Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata sebagai sebuah pertubuhan pengguna, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna berhubung syarikat penerbangan sejak beberapa tahun lalu membabitkan hal-hal seperti kehilangan bagasi, tidak diberikan pampasan, tidak dimaklumkan mengenai pertukaran jadual penerbangan dan pelbagai rungutan lain.

"Sejak Mavcom diperkenalkan, kami melihat berlaku penurunan yang drastik dalam aduan mengenai syarikat penerbangan. Kami percaya hal ini bukan sahaja disebabkan oleh kecekapan Mavcom dalam mengendalikan aduan yang diterima malah akhirnya terdapat sebuah badan yang memantau syarikat penerbangan dan memberi perhatian kepada kebajikan penumpang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: "Apa peranan Mavcom, dua tahun operasi duit dah habis"

Katanya Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang dibentuk oleh Mavcom memberikan penjelasan yang secukupnya berhubung hak-hak penumpang dan tanggungjawab syarikat penerbangan.

Sementara itu Mohamed berkata berhubung pengenaan caj perkhidmatan RM1 yang dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari lapangan terbang di Malaysia yang dikritik oleh 4PAM, CAP percaya bayaran itu adalah wajar memandangkan Mavcom tidak lagi dibiayai oleh kerajaan.  

"Hakikatnya, pertubuhan, syarikat malah kerajaan sendiri memerlukan wang untuk beroperasi dan meneruskan operasi mereka Berhubung 4PAM mempersoalkan ketelusan Mavcom, sejujurnya ia agak memalukan kerana semua data, kertas penyelidikan, laporan pengguna, laporan tahunan (yang mengandungi penyata kewangan suruhanjaya berkenaan) dan sebagainya terdapat di dalam laman sesawangnya.

“Tambahan pula, Mavcom merupakan sebuah suruhanjaya yang memberikan laporan secara langsung kepada Parlimen yang menuntut ketelusan,” katanya.

Beliau berkata secara kesimpulannya pihaknya tidak menemui sebarang kewajaran bagi serangan 4PAM terhadap sebuah suruhanjaya yang baik.  

"Oleh itu kami ingin menegaskan bahawa Mavcom patut dikekalkan demi kebajikan penumpang kapal terbang," katanya. - Bernama

Mavcom, 4PAM, CAP

Artikel Lain