suria

Krisis MB Perlis selesai dalam tempoh 3 hari?

Azlan Man. Foto Bernama

KANGAR: Krisis politik di Perlis akan diselesaikan dalam beberapa hari lagi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Ruzaini Rais.

Ruzaini yang merupakan salah seorang daripada Adun Barisan Nasional (BN) bertindak memboikot majlis angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar, berkata, terdapat penyelesaian berhubung isu yang berbangkit tetapi enggan mengulas lanjut.

"Kebuntuan itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga hari akan datang tetapi saya tidak boleh mendedahkan sebarang butiran," kata Ruzaini selepas majlis penutup program latihan pengendalian makanan di Beseri pada Ahad.

"Saya menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kerana baginda adalah Raja," katanya.

Dalam pada itu, Ruzaini enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau menyokong Azlan.

Perlis dilanda krisis apabila sembilan Adun yang bersekutu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim memboikot majlis angkat sumpah Azlan pada 24 Mei lalu.

Tindakan itu menyebabkan Raja Perlis murka dan bertitah bahawa baginda telah memilih Azlan kerana baginda tidak mahu "menteri besar boneka" dan dikawal oleh kuasa luar.

Shahidan, yang dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Arau dalam PRU14 berkata, sejak BN memenangi 10 daripada 15 kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini, Adun Tambun Tulang, Ismail Kassim mendapatkan keyakinan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Ismail dan Shahidan merupakan adik-beradik.

Artikel Berikut

Artikel Lain