suria

Isu 'teguran' Nurul Izzah lihat keperluan undang-undang lindungi wanita

Nurul Izzah Anwar.

PETALING JAYA: Walaupun rakyat Malaysia mengecam lelaki yang 'menegur' Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar supaya berpakaian lebih sopan, ahli politik itu tampil untuk menjadikan perkara itu sebagai motivasi untuk mendorong kepada perlindungan yang lebih baik bagi wanita.

Pada Jumaat, menerusi satu program Facebook Live, Nurul Izzah Anwar ditegur oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Azrul berhubung penampilannya.

"Lepas ni YB kena berhati-hati sikit sebab kadang-kadang YB pakai tudung kan, tudung YB kadang-kadang terselak tau. Dan kadang-kadang nampak part yang tak sepatutnya lah," tegur Azrul.

"Pasal hari itu saya nampak baju dalam semua, nampak buah dada," kata Azrul lagi.

Namun Nurul Izzah tidak cepat melatah, sebaliknya kelihatan tenang dan mengangguk-angguk tanda memahami teguran Azrul.

Klip video tersebut menjadi tular dan menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia terhadap lelaki itu kerana mengeluarkan komen yang keterlaluan.

Nurul Izzah menerusi akaun Twitternya berkata, beliau terkejut dengan komen lelaki berkenaan semasa sesi FB Live.

"Isu membabitkan seksisme dan gangguan kepada wanita perlu dipertahankan. Kita mesti memupuk penghargaan dan layanan yang lebih baik kepada wanita," katanya.

Bagaimanapun, Nurul Izzah berkata, beliau terharu dengan keprihatinan dan sensitiviti rakyat Malaysia yang membela dirinya dan wanita secara amnya.

Rakyat Malaysia memberitahu, terdapat keperluan untuk Akta Gangguan Seksual atau undang-undang yang komprehensif terhadap 'menghendap' dan mengganggu wanita.

Nurul Izzah bersetuju dengan pandangan itu.

"Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk meningkatkan undang-undang bagi melindungi wanita di negara ini," katanya merujuk kepada ibunya yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Azrul, Nurul Izzah

Artikel Lain