suria

Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM beri keterangan

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Najib yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire itu tiba pukul 9.42 pagi dengan kawalan ketat daripada anggota polis.

Difahamkan hanya Anggota Parlimen Pekan itu akan masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Seawal pukul 8 pagi, puluhan media tempatan dan antarabangsa berada di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan kes yang melibatkan Najib.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dijangka mengadakan sidang media pukul 11.30 pagi ini.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan  bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada  26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.-Bernama

SPRM, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

TPM Wan Azizah mula tugas

Artikel Berikut

Artikel Lain