suria

Najib tak akan ditahan - Mohd Shukri

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak tidak akan ditahan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Mohd Shukri berkata bekas perdana menteri dipanggil oleh SPRM ke pejabat SPRM pada pagi Selasa bagi memberi keterangan berhubung kes SRC International.

"Bukan nak tangkap. Kehadiran beliau hari ini untuk memberi keterangan berhubung SRC International.

"Ini susulan SPRM menerima maklumat baharu," kata Mohd Shukri dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Selasa.

Mohd Shukri berkata, buat masa ini beliau tidak dapat menentukan berapa lama masa diambil untuk proses memberi keterangan.

"Saya tak dapat beritahu, semuanya bergantung kepada jawapannya, kalau kami puas hati, kami lepaskannya.

"Kalau kami perlukannya lagi, kami akan panggil semula," katanya.

Ditanya adakah saksi lain yang akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ini, Mohd Shukri berkata hanya Najib seorang pada hari ini.

"Hari ni Najib dulu, tapi ada lagi satu atau dua orang saksi penting yang kita akan panggil," katanya.

Najib tiba di ibu pejabat SPRM menaiki kenderaan Toyota Vellfire pada pukul 9.42 pagi ini dengan kawalan ketat daripada anggota polis.

Difahamkan hanya anggota Parlimen Pekan itu yang masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada  26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

SPRM, SRC International, 1MDB

Artikel Lain