suria

Pasukan Petugas Khas 1MDB bermesyuarat kali pertama hari ini

Gani Patail.

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengadakan mesyuarat kali pertama hari ini selepas penubuhannya diumumkan semalam.

Mesyuarat itu, yang diadakan pagi ini di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Putrajaya, dihadiri kesemua empat anggotanya.

Mereka adalah bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Menurut kenyataan dikeluarkan pasukan petugas khas itu, mesyuarat berkenaan membincangkan secara terperinci mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil melibatkan kes 1MDB.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa tumpuan pasukan itu diberikan terhadap pengesanan aset, membawa balik semua wang dan aset hasil dari aktiviti kesalahan 1MDB, dan pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

"Pasukan petugas khas ini yang telah dilantik Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan menjalankan tugas secara telus, adil dan profesional," menurut kenyataan itu.

Pasukan petugas khas itu akan mengadakan mesyuarat seterusnya esok. - BERNAMA

1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain