suria

Pegawai tak dapat akses fail merah - Menteri Kewangan

Guan Eng menjawab persoalan pada sidang media selepas memulakan tugas pertama sebagai Menteri Kewangan di pejabatnya di Kementerian Kewangan Malaysia, Selasa - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Pegawai tertinggi dan kanan Perbendaharaan dan Jabatan Audit Negara tidak dapat mengakses akaun dan laporan tertentu di bawah pemerintahan terdahulu, kata Menteri Kewangan yang baharu dilantik, Lim Guan Eng.

Beliau berkata ini menghalang pegawai dan juruaudit menjalankan tanggungjawab mereka selain menyiasat.

Pada hari pertama di kementerian itu, Lim berkata beliau mengadakan siri pertemuan dengan semua pegawai kanan Perbendaharaan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Siti Zauyah Mod Desa dan pertemuan berasingan dengan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan pasukannya.

Beliau berkata kedua-dua Siti Zauyah dan Madinah memberi taklimat kepada beliau mengenai kedudukan semasa kewangan negara, dan pendedahan yang mengejutkan bahawa mereka tidak dapat mengakses akaun dan laporan tertentu.

"Mereka juga mengadu bahawa 'fail merah' hanya boleh diakses oleh pihak tertentu dan ini menghalang para pegawai dan juruaudit untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional dan berintegriti.

“Jelas bahawa kerajaan terdahulu melakukan perbuatan menipu orang ramai mengenai kes panas tertentu, terutama 1MDB, malah memberikan gambaran yang salah mengenai kedudukan kewangan kepada Parlimen," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Lim berkata penyiasatan terperinci masih dijalankan bagi mencari maklumat dan data kewangan yang diperlukan.

Beliau mengarahkan supaya semua akaun boleh diakses oleh Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara atas kepentingan kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan.

"Kedua-dua Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara akan terus mencari fail-fail ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas dan tepat mengenai kedudukan kewangan negara kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai kedudukan kewangan negara, Lim berkata beliau yakin dan optimistik negara dapat mengatasi cabaran ini.

"Dalam perkembangan yang positif, sistem kewangan dan perbankan Malaysia kekal teguh dan mempunyai modal yang tinggi. Selain itu, pinjaman tidak berbayar kurang dari 1 peratus daripada jumlah portfolio pinjaman.

"Dasar-dasar ekonomi kekal kukuh. Oleh itu, setelah dapat membersihkan kewangan Kerajaan Persekutuan, kita akan dapat mengukuhkan lagi keyakinan orang ramai dan pelabur terhadap Malaysia,” katanya. - BERNAMA

1MDB, fail merah

Artikel Sebelum

Artikel Lain