“Jho Low... kalau tak salah dia patut pulang” - Tun Daim - Semasa | mStar

“Jho Low... kalau tak salah dia patut pulang” - Tun Daim

PETALING JAYA: Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low adalah saksi terbaik untuk membantu kerajaan menyelesaikan kekusutan yang membabitkan 1MDB, kata Tun Daim Zainuddin.

"Saksi terbaik adalah Jho Low... saya nak dia datang dan bantu saya.

"Saya tahu dia di mana secara kasarnya, tapi kalau dia tak bersalah, dia patut pulang dan bantulah kami," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan yang diadakan pada petang Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan wartawan tentang jumlah aset negara yang boleh diperolehi semula susulan siasatan kes terbabit.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, 1Malaysia Development Bhd, (1MDB), Arul Kanda Kandasamy menegaskan bahawa Jho Low tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat pelaburan negara itu.

Namun, nama hartawan tersebut disebut dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan didakwa melakukan penyelewengan dana berkaitan dengan 1MDB.

Pendakwa raya di Singapura juga menamakannya sebagai individu utama dalam siasatan berkaitan 1MDB, menambah Jho Low menggunakan wang yang dijejaki ada kaitan dengan syarikat pelaburan negara itu untuk kepentingan dirinya sendiri.

Lokasi terkini lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Tun Daim , Majlis Penasihat Kerajaan

Artikel Sebelum

Pegawai SPRM di rumah Najib

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan