suria

Polis jumpa peti besi berusia 20 tahun di rumah Najib

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha untuk membuka sebuah peti besi berusia 20 tahun bagi membantu siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut peguam kepada Najib, Datuk Harpal Singh Grewal peti besi itu tidak dapat dibuka oleh pihak polis kerana  kunci peti besi yang ditemui di kediaman  peribadi Najib itu telah hilang.

Beliau berkata peti besi berkenaan dijumpai pada 8.30 pagi tadi dan usaha untuk membuka peti besi masih berterusan sehingga kini.

“Kandungan di dalam peti besi itu masih tidak dapat dipastikan lagi...terdapat 50 sehingga 60 pegawai dan anggota yang tiba di kediaman mereka sejak semalam,”  katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi Najib dan keluarga di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada Khamis.

Terdahulu, pada 4.40 petang tadi sebuah trak PDRM telah keluar dari perkarangan rumah Najib dipercayai membawa keluar bahan bukti sambil diiringi sebuah kereta peronda dan dua buah motosikal polis.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Bernama

Najib Razak

Artikel Lain