suria

Mansuhkan fungsi pendakwa raya daripada Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia mencadangkan kepada kerajaan baharu untuk memansuhkan fungsi pendakwa raya daripada Peguam Negara kerana ia merupakan langkah yang perlu untuk mengukuhkan kebebasan pendakwa raya.

Presidennya George Varughese (gambar) berkata adalah penting untuk memisahkan pejabat Peguam Negara  daripada pejabat Pendakwa Raya, untuk Peguam Negara hanya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan, dan Ketua Pendakwa Raya yang berasingan membuat keputusan mengenai perkara-perkara berkaitan pendakwaan.  

Dalam satu kenyataan pada Ahad, beliau berkata ia akan memupuk keyakinan orang ramai terhadap pejabat Ketua Pendakwa Raya dan prospek atau dilihat sebagai berat sebelah akan lenyap.

“Pada masa ini, Peguam Negara Malaysia mempunyai dua peranan berasingan dan berbeza di bawah  Perlembagaan  Persekutuan. Beliau adalah penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, dan beliau juga adalah pendakwa raya.  

“Sebagai pendakwa raya, Peguam Negara dikehendaki bertindak secara bebas dan tidak berat sebelah, dan bertindak sebagai penjaga kepentingan awam, tanpa dipengaruhi oleh pertimbangan politik.  

“Oleh itu, beliau mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang bercanggah dengan kepentingan yang tidak dapat dielakkan dari semasa ke semasa, apabila kepentingan anak guamnya, kerajaan dan mungkin tidak sepenuhnya bersesuaian  dengan kepentingan awam. 

“Pengalaman yang lalu menunjukkan bahawa situasi seperti itu akan timbul jarang-jarang sekali, seperti apabila disyorkan  bahawa seseorang pegawai awam atau ahli politik boleh didakwa atas kesalahan yang dikatakan dilakukan,” kata beliau.

George berkata buat masa ini, Peguam Negara yang baharu, dengan memiliki kelayakan dan keupayaan perlu dilantik tanpa berlengah lagi.Beliau berkata ini adalah penting kerana Peguam Negara adalah penasihat undang-undang utama kepada kerajaan. - Bernama

pendakwa raya, peguam negara

Artikel Lain