suria

PH kuasai DUN Kedah, tapi belum dapat bentuk kerajaan negeri

Calon Barisan Nasional (BN) yang memenangi kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menenangkan penyokongnya yang bersedih atas kekalahan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang dan Pedu selepas keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Fathullah Suhaimi Ismail di Kolej Mara, Kuala Nerang.

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) menguasai Dewan Undangan Negeri  Kedah selepas mendahului dengan memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PAS memenangi 15 kerusi DUN manakala Barisan Nasional (BN) hanya tiga kerusi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri yang baharu masih belum dapat dibentuk berikutan majoriti mudah bagi negeri Kedah adalah 19 kerusi DUN.

PH yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi kerusi DUN Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas, Kulim dan Gurun.

Pada pilihan  raya umum kali ini, PAS menambah enam kerusi DUN lagi  berbanding sembilan kerusi yang dimenanginya pada PRU13. Selain mempertahankan kerusi DUN Bukit Pinang, Tokai, Merbau Pulas, Sungai Limau dan Kuala Ketil, PAS membuat kejutan dengan merampas kerusi DUN yang dahuluinya dikuasai BN iaitu DUN Ayer Hitam, Kuala Nerang, Bukit Lada, Belantek, Jeneri, Tanjong Dawai, Pantai Merdeka, Pedu, Bayu dan Kupang.

Pilihan raya umum kali ini menyaksikan kekalahan teruk BN apabila mereka hilang hampir keseluruhan 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13.

Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah gagal mempertahankan kerusi Suka Menanti yang diwakilinya selama enam penggal apabila hanya memperoleh 7,050 undi dalam pertembungan tiga penjuru itu Beliau tewas kepada Zamri Yusuf (PKR-PKR) dengan majoriti 6,251 undi selepas mendapat 13,301 undi.

Zamri turut mengalahkan calon PAS Mohd Sabri Omar yang memperoleh 4,580 undi.  BN hanya mampu mempertahankan tiga kerusi DUN yang mana dua daripadanya, DUN Sungai Tiang dan Bandar Baharu, masing-masing dimenangi oleh calon wanitanya Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd Noor yang juga penyandang dua kerusi berkenaan.

Satu lagi kerusi milik BN, DUN Guar Chempedak, dipertahankan penyandangnya Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Sementara itu, BN hanya mampu mempertahankan dua kerusi Parlimen berbanding 10 kerusi yang dimenangi pada PRU13.

Timbalan Pengerusi BN negeri yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 1,099 undi manakala Ketua Umno Bahagian Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut memenangi semula kerusi Parlimen Baling dengan majoriti 1,074 undi.

PH membuat kejutan dengan menambah enam kerusi Parlimen dan mempertahankan empat kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU13 iaitu Alor Setar, Kuala Kedah, Sungai Petani dan Padang Serai.

Kerusi tumpuan iaitu Parlimen Langkawi menyaksikan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad menewaskan penyandang Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN) dengan majoriti 8,893 undi selepas memperoleh 18,954 undi. Nawawi mendapat 10,241 undi.

Mahathir turut mengalahkan calon PAS Zubir Ahmad yang memperoleh 5,512 undi.

Pilihan raya umum itu turut menyaksikan anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, memenangi kerusi Parlimen Jerlun dengan majoriti 5,866 undi manakala Datuk Mahfuz Omar mempertahankan  kerusi Parlimen Pokok Sena dengan majoriti 5,558 undi.

Datuk Saifuddin Nasution pula  membuat kejutan dengan memenangi kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu dengan majoriti 4,860 undi manakala dua lagi kerusi Parlimen yang dapat dirampas PH adalah Kubang Pasu dan Merbok.

PAS pula memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu Pendang, Sik dan Jerai.-- Bernama 


PH, Kedah, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Lain