suria

Ajal di pusat undi

Rokiah meninggal dunia selepas rebah ketika beratur menunggu giliran mengundi di pusat mengundi di SMK Pulau Serai, di sini, pagi tadi. - Sinar Online

DUNGUN: Seorang pengundi tidak sempat menunaikan tanggungjawab apabila rebah dan terus meninggal dunia ketika beratur menunggu giliran untuk membuang undi di SMK Pulau Serai, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi, mangsa, Rokiah Sulong, 54, yang beratur di saluran dua rebah secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan beberapa minit selepas kejadian.

Anaknya, Nur Zita Md Nur, 36 berkata, dia dan emaknya keluar dari rumah kira-kira pukul 8.00 pagi untuk mengundi.

"Ketika keluar dari rumah emak seperti biasa dan tiada tanda-tanda sakit atau tidak sihat.

"Dia kelihatan gembira untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.

" Emak memang ada penyakit darah tinggi dan sebelum keluar dia sudah makan ubat," katanya.

Kata Nur Zita, dia dan keluarga masih terkejut dengan kejadian itu tetapi menerima ketentuan dengan redha.

"Sewaktu kejadian kami beratur di saluran berbeza dan sebaik dimaklumkan oleh orang ramai saya terus ke sana.

"Ketika itu emak sudah pengsan dan saya melihat dua hingga tiga kali dia menarik nafas panjang sebelum disahkan sudah tiada.

"Emak tidak sempat membuang undi tetapi saya tetap meneruskan tanggungjawab walaupun amat sedih dan terkejut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian itu.

Jenazah mangsa kemudian dihantar ke rumah di Kampung Pelandang selepas keluarga mengesahkan mangsa menghidap penyakit darah tinggi serta masih menjalani rawatan. - Sinar Online

PRU14

Artikel Berikut

Artikel Lain