Megat Zulkarnain...antara hindustan, janji dan air mata - Semasa | mStar

Megat Zulkarnain...antara hindustan, janji dan air mata

KUALA LUMPUR: Mengakui dirinya bertuah kerana dilahirkan sebagai atlet seni mempertahankan diri, sejak saat itu Datuk Megat Zulkarnain Omardin terus melangkah tanpa menoleh lagi.

Hari demi hari membawa dirinya terus mengukuhkan kedudukannya dalam bidang yang diminatinya hasil dorongan bapanya yang juga penerima pertama gelaran Pendekar Negara, Tan Sri Omardin Mauju.

Malahan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) itu berpendapat, jika sesetengah pihak menganggap politik dan sukan tidak boleh bergabung, namun sebaliknya bagi Megat.

“Disiplin. Hanya disiplin sahaja kunci utama untuk berjaya. Saya pernah masuk gelanggang, pernah bekerja sebagai teknikal, pegawai teknikal peringkat antarabangsa dan akhirnya menguruskan persatuan yang besar.

“Malah terlibat dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang merupakan pentadbir sukan penting dalam negara," katanya menceritakan pembabitannya dalam sukan sebelum menceburi politik kepada mStar Online.

Megat bergurau menunjukkan aksi dengan atlet taekwando negara dilantik sebagai ketua kontinjen negara Sukan perpaduan Islam 2013.


Bagi anak sulung daripada sembilan beradik ini, apa yang penting adalah selepas 50 tahun, sukan silat mendapat perhatian berbanding sebelum ini yang kurang menonjol.

“Saya berjaya lahirkan atlet dari ‘zero to hero’ hingga dinobat sebagai  Olahragawan Anugerah Sukan Negara, Al-Jufferi Jamari pada 2015. Kebetulan ketika itu silat menyambut ulangtahun jubli emas.

“Kejayaan itu diteruskan dan setahun kemudian Siti Rahmah Mohamed pula merangkul gelaran Olahragawati Negara.

“Bagi saya setelah sekian lama, inilah kejayaan cemerlang selepas satu persatu usaha dibina.

“Semua itu berpunca daripada disiplin,” jelas suami kepada Datin Hanizam Harun dan bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Putera pasangan Megat Zulkarnain dan Hanizam, Megat Firdauz Putra,22, Megat Farhad Putra,21, dan bongsu, Muhammad Eshmen Natazha,14,.

Menceritakan lebih lanjut, akuinya sememangnya sudah lama mahu berkhidmat untuk masyarakat, khasnya komuniti di Gombak Setia.

Megat menunjukkan potret keluarganya.

“Di sini tempat saya membesar. Saya ceburi politik selepas dunia pertama saya (silat) berjaya dan sudah tentu pendekatan yang diguna itu akan diteruskan.

“Saya sangat yakin ia akan memberi perubahan baharu dalam pimpinan akan datang.

“Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM) turut megiktirafkan Pesaka adalah persatuan yang terbaik di negara.

“Ia kerana apa? Sebab kami kurang kontroversi, tidak pernah menggunakan saluran media untuk bertelagah.

“Malah kami juga tidak mengkritik kepimpinan lain secara terbuka dan menyelesaikan sebarang masalah hanya di meja mesyuarat.

“Jika kita tidak boleh hormat sebarang organisasi, bermakna kita perlu bersedia untuk tengok organisasi itu jatuh,” katanya sambil membuka cerita akujanji dengan dua insan istimewa dalam dirinya.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia pada PRU14 yang berusia 49 tahun ini memberitahu, apa yang dicapai kini adalah janji antara dirinya dengan ayahanda yang juga mahaguru seni silat serta ibunya, Puan Sri Raja Azizah Raja Ahmad Shah.

Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju

“Kira-kira 18 tahun dulu, bapa saya beri masa tiga hari untuk berfikir sama ada keputusan saya untuk ceburi politik ini betul atau tidak.

“Selepas itu saya bawa isteri berjumpa dengan bapa dan mak.

“Ketika itu, bapa pesan:"Ingat Megat. Kalau engkau nak jadi orang politik, perlu betul-betul jujur dan ikhlas dengan rakyat dan tidak buat benda-benda yang tak elok, restu seorang ibu dan bapa akan sentiasa bersama-sama engkau.

“Tapi ingat, kalau engkau jadi ahli politik yang korup, salah guna kuasa, menyeleweng dan menipu rakyat, maka masa itu kalau aku masih hidup, akulah orang pertama yang akan tentang."

“Selepas itu bapa suruh saya cium tangan dan kaki emak tanda restu sebelum bersalam dengannya.

“Ajaran bapa saya yang menjadikan siapa saya hari ini. Dia adalah ‘superhero’ saya,” akui Megat Zulkarnain yang menitiskan air mata ketika menyebut nama bapa yang menemui ilahi pada 2015 kerana menghidap kanser.

Megat akui semangat perjuangan bapanya sentiasa dalam jiwanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Gombak itu memberitahu, bukan mudah untuk menerapkan elemen disiplin sukan dalam politik.

“Lebih 20 tahun, saya  telah lalui pelbagai dugaan dan rintangan. Perjalanannya bukan mudah.

“Tetapi sebagai seorang ahli seni mempertahankan diri, saya tidak mudah berputus-asa.

“Kita tidak boleh main-main dalam latihan kerana ia akan mencederakan kita. Jadi elemen itulah membuatkan saya serius dalam politik ini demi membantu masyarakat," katanya.

Megat tidak dapat menahan air mata setiap kali menyebut kisah bapanya yang dianggap 'Superhero'.

Bagaimanapun, beliau tahu bukan semua pihak gemar dengan elemen yang diterapkannya kerana disiplin ini seperti menentang arus kepada mereka.

“Tetapi saya bersyukur kerana ramai yang menyokong saya secara terbuka atau tidak untuk elemen silat ini dalam poltik.

“Yang penting adalah saya tidak mahu menjadi pemimpin yang digeruni, tetapi seorang yang dikasihi dan disayangi rakyat," jelasnya.

Tambah Megat Zulkarnain lagi, selama ini dia membantu penduduk setempat tanpa mengira parti mana yang disokong kerana baginya semua rakyat Malaysia,  ada hak untuk dibantu.

“Kalau pun kita tidak mampu membantu mereka, cukuplah tadahkan telinga dengar masalah mereka dan beri pandangan,” jelasnya.

Artikel Sebelum

Umno pecat Rafidah, Daim dan Rais

Artikel Berikut

Calon DUN Pilah kecewa

Artikel Lain