suria

Daim buat keputusan sokong Pakatan pada hari penamaan calon

MUAR: Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berkata keputusannya untuk menyokong Pakatan Harapan dibuat pada hari penamaan calon.

Beliau berkata tindakan tidak membenarkan dua calon PKR masing-masing bertanding di kerusi Parlimen Batu dan Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi titik tolak kepada tindakannya menyokong Pakatan Harapan.

Tian Chua hilang kelayakan bertanding di Parlimen Batu berikutan satu keputusan mahkamah.

Kes mahkamah membabitkannya adalah bagi kesalahan memaki polis di Twitter pada 2013 dan sudah dibicarakan di Mahkamah Petaling Jaya, malah denda dikurangkan dari RM3,000 kepada RM2,000.

Calon Rantau, Dr S.Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa pas calon seperti disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Daim juga berkata beliau hanya mengetahui mengenai pemecatannya dari Umno melalui laporan media.

Pada malam Jumaat, Daim dan bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berucap dalam satu ceramah Pakatan di Melaka.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan parti itu memecat dua veteran Umno itu kerana menghadiri program pembangkang.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata seorang lagi veteran parti Tan Sri Dr Rais Yatim masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.

Daim Zainuddin, PRU14

Artikel Lain