suria

Jenazah Fadi dijangka dibawa pulang esok

Enas al-Batsh (dua dari kiri), balu Dr Fadi meninggalkan unit forensik di Hospital Selayang pada Isnin.

SELAYANG: Jenazah Dr Fadi Albatsh dijangka dibawa pulang ke negara kelahirannya, Palestin esok.

Adik lelakinya, Dr Rami Albatsh yang dilihat memasuki bilik mayat Hospital Selayang kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin bersama dengan isteri Fadi.

Dr Rami tiba di Malaysia dari Jerman, awal pagi Isnin.

Difahamkan keluarga mangsa telah menghantar semua dokumen yang diperlukan hospital untuk urusan tuntutan mayat Fadi.

Dr Rami dan isteri Fadi enggan memberikan sebarang komen ketika ditemui.

Keluarga mangsa juga dilaporkan masih menunggu maklum balas daripada kedutaan Palestin jika kebenaran untuk menerbangkan jenazah Fadi menerusi Mesir telah diberikan.

Seorang rakan keluarga mendedahkan urusan membawa pulang jenazah Fadi paling cepat dilakukan esok.

Dalam insiden pukul 6 pagi Sabtu lalu, dua lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi menunggu kira-kira 20 minit dekat Jalan Meranti di Setapak, Kuala Lumpur sebelum menembak mati Dr Fadi.

Semasa kejadian, mangsa dilaporkan sedang menuju ke surau yang terletak kira-kira 300 meter dari kediamannya di Kondominium Idalam Puteri di Medan Idaman.

Dr Fadi Albatsh

Artikel Lain