Janji taja kenduri kahwin - Semasa | mStar

Janji taja kenduri kahwin

KOTA BARU: Barisan Nasional (BN) Kota Bharu berjanji mengadakan 'bekwoh' (kenduri kahwin) dua kali setahun secara berkelompok untuk perkahwinan pertama membabitkan semua kaum sekiranya memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada PRU14.

Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohd Fatmi Che Salleh yang melancarkan manifesto BN negeri itu berkata ia telah disesuaikan khusus untuk penduduk setempat.

"Kami tahu ramai golongan muda yang menganggap mereka perlu banyak belanja untuk majlis perkahwinan.

"Kami berjanji untuk menaja 'bekwoh' bagi mana-mana pasangan dari semua kaum untuk perkahwinan pertama mereka," katanya pada sidang media di ibu pejabatnya di sini, Sabtu.

Mohd Fatmi berkata pasangan pengantin boleh meneruskan majlis akad nikah terlebih dahulu manakala jamuan kenduri kahwin bakal berlangsung pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Pasangan yang berminat boleh mendaftar dengan kami dan kami akan mengadakan majlis kenduri berkelompok untuk mereka. Malah mereka boleh menjemput tetamu masing-masing.

"Kami akan mengadakan ia dua tahun sekali dan tarikh majlis pertama akan berlangsung pada 17 Ogos. Ia terbuka kepada semua kaum," katanya.

Sementara itu, BN Bahagian Kota Bharu turut berjanji menawarkan tuisyen percuma kepada murid yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pelajar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

BN Kota Bharu juga akan menyediakan skim bantuan bersalin sebanyak RM100 kepada warga Kota Bharu memandangkan kos bersalin pada masa ini amat tinggi.

bekwoh , PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Guan Eng sebak

Artikel Berkaitan

Artikel Lain